Kajian & Analisis Malaysia

Doktor Tribe: Apa jadi dengan Fadhli? Corak defensif Mongolia berjaya jerat Harimau Malaya

Jutaan rakyat Malaysia masih terkejut selepas skuad semi-pro Mongolia berjaya mengikat Malaysia 2-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam semalam.

Biarpun menurunkan kesebelasan pertama yang cukup mantap, skuad Harimau Malaya gagal menunjukkan taring dan persembahan yang rapuh di bahagian pertahanan akhirnya membantu Mongolia mendapatkan mata pertama perlawanan persahabatan kelas A dalam sejarah mereka.

Artikel Doktor Tribe ini akan menampilkan nama-nama pemain yang mencuri perhatian ramai, pemain yang paling mengecewakan, selain turut memberi sedikit analisis berkenaan corak taktikal yang digunakan oleh kedua-dua pengurus.

PEMAIN TERBAIK (MVP)

Malaysia: Akhyar Rashid
Seperti yang dikatakan oleh pengendali Mongolia selepas perlawanan malam semalam, Akhyar Rashid sepatutnya diturunkan dalam kesebelasan pertama. Walaupun hanya bermain 45 minit, dia jelas tampil sebagai pemain terbaik Malaysia di Bukit Jalil, selepas berjaya menjaring satu gol dan mencipta beberapa peluang yang menarik.

Mongolia: Gankhuyag Serodyanjiv
Pemain tengah Mongolia ini menjadi sumber inspirasi mereka di atas padang, dan memainkan peranan yang cukup besar dalam mengekang kemaraan Natxo Insa dan Safiq Rahim. Dia turut menjaringkan gol kedua Mongolia melalui percubaan sepakan percuma yang cukup menarik.

PEKERJA KERAS

Malaysia: Afiq Fazail
Biarpun digandingkan dengan dua pemain yang lebih berpengalaman - Natxo Insa dan Safiq Rahim, Afiq Fazail muncul sebagai aset yang penting di bahagian tengah malam semalam. Dia bekerja keras sepanjang perlawanan, dan sering membuat larian untuk membantu bahagian pertahanan, setiap kali Mongolia melancarkan serangan balas.

Mongolia: Enkhbileg Purevdorj
Akibat keputusan Michael Weiss untuk menggunakan corak taktikal yang defensif, Enkhbileg sering keseorangan di bahagian serangan Mongolia, tetapi dia bekerja dengan cukup keras sepanjang 90 minit perlawanan. Hasilnya? Dia berjaya menjaringkan gol penyamaan pertama melalui larian yang pantas dan juga cubaan yang menarik.

*Kredit Foto: Berita Harian

 

PEMAIN PALING MENGECEWAKAN

Malaysia: Fadhli Shas
Tiada siapa yang menjangkakan persembahan sebegini daripada Fadhli Shas, terutamanya apabila kita melihat prestasi semasa Fadhli bersama JDT. Musim ini, dia sudah mula membentuk gandingan yang mantap dengan Marcos Antonio, dan tampil sebagai antara pemain pertahanan terbaik di tanah air. Namun, dia nampak rapuh dan banyak membuat kesilapan malam semalam, termasuk kesilapan yang memberi ruang kepada Mongolia untuk menjaringkan gol penyamaan pertama.

Mongolia: Tusbileg Batbold
Pemain tengah ini gagal meninggalkan sebarang impak terhadap perlawanan malam semalam, dan sering tidak berjaya melalukan hantaran mudah. Dia akhirnya dikeluarkan oleh Michael Weiss seawal minit ke-51, untuk memberi peluang kepada Soyol Erdene-Gal Erdene.

ANALISIS STRATEGI KETUA JURULATIH

Malaysia: Tan Cheng Hoe
Atas kertas, jurulatih Malaysia ini menamakan kesebelasan pertama yang cukup mantap, termasuk Natxo Insa, yang membuat penampilan pertama untuk skuad kebangsaan sejak menjadi pemain naturalisasi pada bulan Jun lepas. Dia menggunakan corak taktikal 4-5-1, yang sering bertukar menjadi 4-3-3 apabila mereka melancarkan serangan. Namun, gandingan di antara Fadhli Shas dan Adam Nor Azlin nampak rapuh sepanjang 90 minit, manakala Fazly Mazlan pula belum mencari rentak membantunya menjadi antara pemain pertahanan terbaik di Malaysia tahun lepas. Kelemahan di bahagian pertahanan akhirnya membantu Mongolia seri 2-2 di Bukit Jalil.

Mongolia: Michael Weiss
Seperti yang dijangkakan, Michael Weiss mengarahkan pemainnya bermain dengan corak taktikal yang defensif, walaupun formasi yang digunakan secara asas adalah 4-4-2. Barisan pertahanan mereka bermain dengan garisan yang cukup rendah, sekaligus mengekang kebolehan Safawi dan Mahali menggunakan kepantasan mereka. Hanya Akhyar, yang pandai bermain dengan ruang yang minima, mampu merobek pertahanan mereka dengan bertubi-tubi pada babak kedua.

 

PENGADIL PERLAWANAN

Nazmi Nasaruddin
Adil. Itu sahaja yang boleh diperkatakan tentang pengadil perlawanan yang berasal daripada Malaysia ini. Dia tidak mengambil sebarang keputusan yang mencurigakan malam semalam, tetapi, perlawanan yang disajikan kepada para penyokong juga turut tidak mengandungi banyak insiden yang berkontroversi.