Liga Super Malaysia

Melaka United yakin punya ramuan sekat JDT

Melaka United mempunyai ramuan tersendiri untuk mencuri mata daripada juara bertahan, Johor Darul Ta’azim.

Selepas menunjukkan aksi hebat menundukkan Negeri Sembilan dalam perlawanan yang lalu, Melaka United pastinya sudah bersiap sedia untuk memberikan aksi yang lebih baik dalam kunjungan mereka ke Stadium Larkin malam ini.

Skuad bimbingan Eduardo Almeida tahu bahawa mereka perlu mengekang jentera tengah JDT, terutamanya Safiq Rahum daripada memberikan bola kepada barisan penyerang mereka.

Pemain import Melaka United dari Korea Selatan, Jeon Woo Young tahu tugas sukar yang akan dihadapi mereka.

“Tugas untuk melemahkan barisan tengah mereka adalah ujian yang sukar, namun jika berjaya ia bakal menghalang pemain tuan rumah melakukan hantaran kepada penyerang untuk menjaringkan gol.

“Harapan sekurang-kurangnya satu mata mampu dibawa pulang jika mampu menghalang mereka mendapatkan gol. Selepas menang 3-0 mengatasi Negeri Sembilan baru-baru ini, moral pemain MU kian meningkat bagi mengharungi saingan di Larkin,” kata Woo Young seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

Jika Melaka mahu meneruskan rentak cemerlang mereka, JDT pastinya mahu bangkit semula daripada kekalahan mengejut kepada pendatang baru Liga Super, Kuala Lumpur.

Pastinya Melaka United perlu bersedia untuk menerima asakan daripada Harimau Selatan yang terluka.