Tahniah JDT!
Skuad Johor Darul Ta’azim berjaya memenangi Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos malam ini selepas menewaskan Kedah dengan jaringan 2-1. Gol daripada Luciano Figueroa dan Marcos Antonio, dua awang import yang turut memainkan peranan yang besar pada tahun 2015, membantu mereka memulakan kempen Liga Super dengan langkah yang positif.
Ulisses Morais menamakan kesebelasan pertama yang cukup kuat, dengan Gonzalo Cabrera, Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz mengemudi jentera serangan mereka. Corbin-Ong turut diberi peluang membuat ‘debut’ di posisi bek kiri.
Bagi Kedah pula, Ramon Marcote memilih untuk meletakkan bintang muda mereka, Akhyar Rashid di bangku simpanan tetapi tonggak-tonggak seperti Liridon Krasniqi, Pablo Pallares dan Baddrol Bakthiar semua dinamakan di dalam kesebelasan pertama mereka.
JDT MENGAWAL TEMPO PERLAWANAN
Seperti yang dijangka, JDT berjaya mengawal tempo perlawanan daripada minit pertama, dan nampak begitu bahaya setiap kali mereka memberi tekanan kepada barisan pertahanan Kedah. Walau bagaimanapun, anak buah Marcote akhirnya meledak dahulu, melalui penyerang baru mereka, Pablo Pallares pada minit ke-15.
JDT terus mengawal perlawanan selepas itu dan melancarkan serangan bertubi-tubi, sebelum berjaya bangkit semula pada minit ke-28 selepas itu dengan jaringan yang cukup cantik daripada lagenda kelab itu, Luciano Figueroa. Pada babak kedua pula, skuad Morais hanya mengambil masa 13 minit untuk mendahului Kedah. La’Vere Corbin-Ong membuat hantaran lintang yang tepat dari sayap kiri dan tandukan Marcos Antonio menewaskan Ifwat dengan selesa.
PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN
Walaupun skuad JDT dipenuhi dengan nama-nama besar seperti Natxo Insa dan Jorge Pereyra Diaz, pemain yang paling menarik perhatian ramai pada malam ini adalah Corbin-Ong. Pemain kacukan Barbados itu tampil dengan aksi yang bertenaga dari posisi bek kiri. Dia tidak membuat sebarang kesilapan sepanjang 90 minit dan sentiasa mencari rakan sepasukan di bahagian serangan dengan efektif. Malah, dia turut mencatat satu ‘assist’ malam ini, dengan hantaran yang tepat untuk gol Marcos Antonio. Tetapi, perkara yang paling mengujakan tentang corak permainan Corbin-Ong adalah kebolehan lontaran jarak jauhnya!
LANGKAH SETERUSNYA
Walaupun tidak begitu efektif di babak kedua, skuad Johor DT ini sudah tentu akan gembira dengan tiga mata yang diperolehi malam ini dan mereka akan turun berentap dengan PKNP di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos pada hari Selasa depan. Manakala Kedah pula akan berbangga dengan persembahan mereka di atas padang malam tadi. Biarpun tidak sekuat JDT di atas kertas, anak buah Marcote bermain dengan cemerlang sepanjang 90 minit. Selepas ini, mereka akan menerima kunjungan Perak di Stadium Darul Aman pada hari Rabu depan.