Asia AFC U23 Championship

Previu Kumpulan B Piala AFC B-23 Tahun: Jepun bakal pertahan takhta Asia?

JEPUN

Photo Credit: AFC

Ketua Jurulatih: Hajime Moriyasu
Pemain Tumpuan: Koji Miyoshi

Sebagai juara bertahan, Jepun jelas menjadi pasukan pilihan ramai untuk menjuarai kejohanan ini. Namun, hakikatnya adalah skuad ini masih muda dan ini merupakan peluang yang bagus untuk Moriyasu menerapkan falsafahnya ke dalam barisan pemain ini.

Majoriti pemain dalam skuad ini dibawa masuk daripada skuad Jepun untuk Piala Dunia B-20 tahun manakala enam pemain yang dipanggil untuk Piala M-150 di Thailand bulan lepas turut dibawa ke China. Di Jepun, kebanyakan peminat berpendapat bahawa Moriyasu akan menggunakan kejohanan ini sebagai platform untuk menguji kombinasi di antara anak buahnya dan ketua jurulatih itu sendiri bersetuju.

“Ini merupakan kejohanan ‘pertama’ kami sebagai pasukan B-23 Jepun dan saya berharap pemain akan mengunakan peluang ini untuk meningkatkan kualiti persembahan masing-masing. Ini akan memberi peluang kepada saya untuk menganalisis skuad ini dengan lebih terperinci,” tambah Moriyasu.

Trivia!

Koji Miyoshi merupakan satu-satunya pemain Kawasaki Frontale – pasukan yang meraih kejuaraan J.League 2017 – yang diberi panggilan oleh Moriyasu. Miyosi berjaya membuat 13 penampilan untuk Frontale musim lepas dan akan dipinjamkan ke Hokkaido Consadole Sapporo untuk musim 2018.