Bekas bintang Selangor, Robert Cornthwaite sedang mencari jalan untuk kembali ke kancah bolasepak Malaysia untuk musim 2018.
Menurut sumber yang rapat dengan Cornthwaite, pemain itu telah menerima tawaran dari beberapa kelab di Malaysia namun dia masih belum lagi membuat keputusan.
Salah satu kelab yang sedang dikaitkan dengan Cornthwaite adalah Sarawak. Menurut laporan Utusan Borneo, Robert Cornthwaite dijangka tiba di Kuching minggu depan untuk menjalani sesi ujian bersama skuad Bujang Senang.
Bekas pemain skuad kebangsaan Australia itu tiba di Malaysia buat kali pertama pada awal tahun 2015, apabila dia menyertai Selangor. Cornthwaite berjaya membina kesefahaman yang bagus dengan Shahrom Kalam di bahagian pertahanan – faktor yang membantu mereka menjadi juara Piala Malaysia pada penghujung musim itu.
Walaupun dilepaskan oleh Selangor pada mulanya, Cornthwaite akhirnya kembali menyarung jersi Selangor pada tahun 2016. Namun, dia dilepaskan oleh Selangor buat kali kedua pada pertengahan 2016 akibat masalah kecederaan.
Pemain 32 tahun itu membuat keputusan untuk kembali ke Australia untuk menyertai Western Sydney Wanderers selepas itu, di mana dia dilantik menjadi kapten pasukan oleh Tony Popovic, ketua jurulatih WSW pada masa itu.