Eropah Berita

Skuad muda Liverpool di’ratah’

Pasukan muda Liverpool kendalian Neil Critchley dibelasah Aston Villa 5-0 pada saingan suku akhir Piala Carabao awal pagi tadi. Kem Liverpool terpaksa menggunakan khidmat pemain muda kerana skuad utama telah menuju ke Qatar bagi menghadapi aksi FIFA Club World Cup menentang Monterrey.

Kekurangan pengalaman ternyata menjadi titik perbezaan buat kedua-dua pasukan. Aston Villa selaku tuan rumah tenang memperoleh empat gol pada babak pertama sekaligus membunuh semangat para pemain muda Liverpool.

Villa yang menurunkan beberapa pemain utama seperti Jonathan Kodjia, Mahmoud Hassan, dan Douglas Luiz dilihat selesa dengan menguasai hampir keseluruhan permainan. 

Walaubagaimanapun, pengendali skuad muda Liverpool, Neil Critchley memuji persembahan anak buahnya dan percaya ini merupakan satu proses pembelajaran buat mereka. Bakat muda seperti Harvey Elliott, Sepp van den Berg, dan Luis Longstaff mampu memberikan sesuatu kepada The Reds pada masa akan datang.

Kemenangan tersebut bermakna Villa akan bertemu pemenang diantara tiga lagi perlawanan yang masih belum berlangsung pada peringkat separuh akhir.