Liga Super Malaysia Berita

Liga Super : JDT tak mahu terlalu selesa

Johor Darul Ta’zim bakal bertemu Melaka United pada aksi Liga Super, malam esok di Stadium Hang Jebat dan bagi kapten pasukan, Hariss Harun mengingatkan rakan sepasukan untuk kekal fokus biarpun berada selesa di puncak liga.

Biarpun berjaya mencatat kemenangan sebelum ini dengan Selangor, 3-2 di halaman sendiri, Hariss mengharapkan aksi yang lebih konsisten dapat dipamerkan oleh para pemain.

Sambil mengakui kemenangan ke atas Selangor bukanlah yang terbaik pernah dipersembahkan, beliau mahu rakan sepasukan mengekalkan momentum mereka dan melakukan persiapan rapi menjelang perlawanan dengan MU esok.

“Kita kena fokus kerana aksi seterusnya di gelanggang lawan dan pertembungan menentang MU dianggap penting bagi kami untuk kekalkan momentum kemenangan dalam usaha memburu kejuaraan liga keenam berturut-turut.

“Mengikut perkiraan, kita perlu menang dua lagi perlawanan iaitu menentang MU dan Perak jika mahu mengesahkan kejuaraan lebih awal. Tapi biarlah kami harungi satu persatu perlawanan malah kami tidak boleh terlalu selesa sebaliknya kerja keras harus diteruskan bagi mengharungi setiap perlawanan,” katanya.