Selepas sekian lama menunggu, perlawanan kelayakan Piala Asia di antara Malaysia dan Korea Utara akhirnya akan berlangsung pada pertengahan bulan ini. Konfederasi Bolasepak Asia telah memilih Thailand sebagai venue neutral dan I-Mobile Stadium di Buriram akan menjadi hos untuk kedua-dua perlawanan tersebut.
Perlawanan pertama akan berlangsung pada 10 November 2017, di mana Korea Utara akan bermain sebagai pasukan tuan rumah. Manakala perlawanan kedua pula akan berlangsung pada 13 November dan Malaysia akan bermain sebagai pasukan tuan rumah pula.
Situasi ini memberi peluang yang unik untuk penyokong Malaysia menyaksikan dua perlawanan Harimau Malaya menentang pasukan lawan yang cukup kuat. Dan untuk membantu anda merealisasikan perjalanan ‘away days’ ini, kami telah bergabung tenaga dengan rakan-rakan di Football Tribe Thailand untuk memberi anda info yang terbaik!
PENGANGKUTAN – KL > BANGKOK > BURIRAM
Untuk pergi ke Buriram, anda perlu berlepas ke Bangkok dahulu. Menurut Google Flights, tiket penerbangan paling murah untuk anda berlepas ke Bangkok pada 9 November dan pulang pada 14 November adalah RM378. Sekiranya anda ingin menggunakan Malaysia Airlines, harganya adalah RM511
Selepas anda tiba di Don Mueang Airport di Bangkok, gunakan train AI dari terminal satu untuk pergi ke Stesen Bas Mochit 2. Setelah tiba di Mochit 2 Bus Depot, anda perlu mengambil bas ke Buriram. Perjalanan ini akan mengambil dalam 6-7 jam.
Menurut sabahat kami di TRB Thailand, Nakornchai Air merupakan syarikat bas yang terbaik untuk perjalanan ini. Selain itu, sebuah lagi syarikat yang boleh dipertimbangkan adalah The Transport Limited Company. Harga tiket bas dari Bangkok ke Buriram adalah dalam lingkungan 323 ke 432 Thai Baht.
Dari terminal bas Buriram, anda boleh mengambil tuk tuk ke I-Mobile Stadium dan harga perjalanan tersebut adalah dalam lingkungan 100-120 Thai Baht. Sila dapatkan harga dahulu sebelum anda menaiki mana-mana tuk-tuk.
PENGINAPAN DI BURIRAM
Jika anda mahukan penginapan yang mewah sedikit, ada dua pilihan yang sesuai. Kelab Buriram United mempunyai hotel mereka yang tersendiri di sebelah I-Mobile Stadium – Amari Hotel. Harga untuk sebuah bilik ‘standard’ adalah dalam 1000 Thai Baht. Selain itu, anda juga boleh memilih untuk menginap di Thansila Resort Buriram, yang turut berdekatan dengan I-Mobile Stadium.
Bagi yang mahu penginapan yang lebih murah anda boleh menginap di Jaroensin Place atau Thai Hotel. Kedua-dua pilihan ini terletak di pusat bandar Buriram dan berdekatan dengan kebanyakan lokasi-lokasi pelancong. Harga di lokasi ini kurang daripada 600 Thai Baht untuk semalam. Selain itu, anda juga boleh pertimbangkan P Hostel Buriram, yang mempunyai rating 9.0 di lawan web Agoda.
MAKANAN HALAL DI BURIRAM
Sahabat kami di TRB Thailand telah menyenaraikan beberapa restoran yang memyediakan makanan halal di Buriram. Antaranya adalah Aman Halal Food, Ran Xahar Buriram, dan Smakoon. Malah, Buriram turut mempunyai Halal Food Bazaar yang menyediakan pelbagai makanan halal. Sila click ‘hyperlink’ di atas untuk mendapatkan info lebih lanjut tentang restoran-restoran ini.
LOKASI PELANCONGAN DI BURIRAM
Oleh kerana perlawanan Malaysia vs North Korea hanya akan berlangsung untuk pada 10hb dan 13 hb November, anda mempunyai tiga hari lain (9hb, 11hb, 12hb) untuk keluar meneroka Buriram. Berikut adalah senarai lokasi yang boleh anda lawati:
1. Bird Park (Suan Nok)
2. Buriram Cultural Center
3. Muang Tham Sanctuary
4. Kiong Thom Markets
5. Night Bazaar Buriram
6. Buriram Castle
7. Prasat Phanom Rung
I MOBILE STADIUM TOUR
Selain lokasi yang disenaraikan di atas, anda juga boleh melawat I-Mobile Stadium dan menyertai ‘Stadium Tour’ mereka. Stadium ini adalah antara yang terbaik di Thailand dan mempunyai fasiliti yang bertaraf dunia. Kapasiti stadium ini adalah 36,200 dan ia juga merupakan stadium pertama di Thailand yang dibina khas untuk bolasepak sahaja. Jangan lepaskan peluang untuk belajar tentang budaya bolasepak negara jiran kita!
Sila kongsi tips ini dengan rakan-rakan anda yang ingin berkunjung ke Buriram untuk memberi sokongan buat pasukan Harimau Malaya kita!