Futsal Berita

Sultan Ahmad Shah International Cup 2020: Pahang Rangers uji kekuatan kelab Jepun, Thailand

Menjelang musim liga futsal 2020, Pahang Rangers menjalani pra-musim dengan mengambil bahagian dalam Sultan Ahmad Shah International Futsal Cup 2020 yang akan berlangsung bermula esok iaitu pada 22 dan 23 Februari 2020, di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan.

Yang menariknya, Pahang akan merebut piala dengan tiga kelab futsal terkemuka Asia iaitu kelab Divisyen Satu F-League Jepun, Athletic Fuchu Tachikawa, kelab FC Nakai dan kelab Chonburi Bluewave FC dari Thailand.

Pahang Rangers FC

Setiausaha Agung Pahang Rangers Ahmad Ainuddin berkata kejohanan pra-musim tersebut bukan sahaja akan memberikan pendedahan terbaik kepada para pemain, tetapi juga memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan perlawanan futsal bertaraf antarabangsa.

“Kita sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi musim baharu MPFL dan kami gembira dapat menguji pasukan dengan berdepan kelab-kelab hebat Asia.

:Chonburi diketahui antara pasukan yang cukup kuat di peringkat Asia dan mereka bukan sahaja dominan di Liga Thai dan juga juara AFF 2019, tetapi pernah beberapa kali memenangi Kejuaraan AFC.

“Athletic Fuchu pula salah satu pencabar terkuat Liga Futsal Jepun dan mempunyai pemain kebangsaan Jepun manakala Nakai pula walaupun bukan pasukan liga, tetapi dibarisi beberapa pemain berpengalaman dan bekas pemain professional di F-League.

“Jadi selain bertindak sebagai aksi pra-musim kepada kita, peminat-peminat futsal tempatan berpeluang menyaksikan aksi futsal bertaraf antarabangsa selain dapat melihat sendiri kelibat pemain-pemain terkemuka Asia beraksi di depan mata.

Antara pemain yang dijangka menjadi tumpuan peminat futsal adalah Natawut Madyalan, Suphawut Thuenklang, Ronnachai Jungwongsuk dan Muhamad Osamanmusa (Chonburi Bluewave); Tomoaki Watanabe, Atsuya Eumura dan Shunta Uchida (Athletic Fuchu) selain bekas pemain Jepun Kensuke Nakai yang juga pengasas pasukan itu.

Pahang dijangka menurunkan Khairul Effendy Bahrin dan rakan-rakan kembali beraksi selepas hampir lima bulan.

Dua tonggak Harimau Malaya iaitu Ridzwan Bakri dan Awalluddin Mat Nawi serta import baharu iaitu Fineo De Araujo juga dijangka menyarung jersi Pahang Rangers buat pertama kali pada musim ini.

Pahang Rangers akan menentang Athletic Fuchu dalam aksi separuh akhir pertama pada Sabtu (4 petang) disusuli  perlawanan antara FC Nakai dan Chonburi Bluewave.

Dua pasukan yang tewas akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga manakala dua pasukan yang menang pula akan bermain dalam perlawanan akhir pada Ahad ini,

Peminat boleh menyaksikan SAS International Cup 2020 dengan membeli tiket yang dijual pada harga RM10 untuk satu hari membabitkan dua perlawanan.