Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berpendapat bahawa penyokong Perak mempunyai pelbagai sebab untuk bergembira dengan pasukan mereka, walaupun mereka tidak mampu melayakkan diri ke final Piala Malaysia tahun ini.
Setelah seri 1-1 dalam pusingan pertama perlawanan separuh akhir mereka menentang Johor DT, pasukan The Bos Gaurus tewas 0-3 di pusingan kedua di Larkin, sekaligus menamatkan impian mereka untuk beraksi di pentas final Piala Malaysia buat kali pertama dalam 10 tahun.
“Sepuluh tahun Perak menunggu untuk ke final Piala Malaysia, namun kami terpaksa terima tidak dapat menunaikan impian itu. Namun, pasukan Perak tetap seperti satu keluarga, kami menang bersama dan kalah pun bersama,” kata beliau kepada Berita Harian.
“Pemain seperti Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri), Nazirul Naim (Che Hashim) Amirul Azhan Aznan dan penjaga gol, Hafizul Hakim (Khairul Nizam Jothy) adalah masa depan buat Perak.
“Apapun, saya bangga dengan semua pemain dan selepas ini kami akan pulang (ke Ipoh) untuk lakukan sesi pemulihan, melihat jika ada pemain yang cedera untuk persediaan perlawanan akan datang,” tambah beliau.
Ini bermakna pasukan Perak akan menamatkan satu lagi musim tanpa sebarang piala. Kali terakhir Perak memenangi Piala Malaysia adalah pada tahun 2000 apabila mereka menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Shah Alam.