Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada sudah mengenalpasti 24 pemain yang akan dipanggil untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan di Melaka bermula 14 Ogos ini bagi persiapan menghadapi aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, 5 September ini.
Beliau turut mengesahkan tiga aksi persahabatan antarabangsa berkelas A akan diadakan dengan aksi pertama menentang Syria disusuli dengan menentang Macau dan kemudian berdepan Myanmar.
Katanya, aksi pertama menentang Syria akan diadakan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 22 Ogos dan kemudian akan menentang skuad kebangsaan Macau pada 25 Ogos dan aksi terakhir persahabatan menentang Myanmar pada 29 Ogos.
“Saya akan mengadakan latihan pusat bermula 14 Ogos ini dan satu perlawanan persahabatan di Melaka manakala dua lagi aksi persahabatan kami akan ke Macau dan Myanmar.”
“Buat ketika ini, saya tidak akan memanggil beberapa pemain Bawah 23 tahun kerana mereka terbabit dengan temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur dan biar mereka beraksi dalam temasya itu,” katanya kepada Berita Harian.
Ditanya mengenai status pemain kacukan Natxo Insa yang kini beraksi bersama JDT sama ada akan dipanggil untuk menyertai latihan skuad Harimau Malaya, pengendali dari Portugal menegaskan ada beberapa dokumentasi yang perlu dilengkapkan sebelum memanggil pemain tengah skuad Harimau Selatan itu.
Beliau tidak menafikan betapa, corak permainan Insa menepati ciri pemain yang dicari untuk mengemudi barisan tengah namun perlu mengikut peraturan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola sepak Asia (AFC).
“Buat ketika ini, saya belum membuat keputusan untuk memanggil Insa untuk menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya, …biarlah urusan dokumentasi pemain itu diselesaikan dulu,” kata Vingada.
Dion Cools pilih Belgium
Teka-teki sama ada bek kiri kelahiran Malaysia, Dion Cools bermain untuk Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila pemain pertahanan kanan Brugge FC itu membuat keputusan untuk menyertai skuad kebangsaan Belgium. Nelo Vingada mengesahkan Cools yang berusia 21 tahun mahu melebarkan kariernya bersama negara Eropah tersebut yang dilihat memiliki peluang cerah untuk bermain pada peringkat lebih tinggi khususnya Piala Dunia.
“Cools telah membuat keputusan tidak menyertai pasukan kebangsaan, sebaliknya memilih Belgium sebagai pasukan kebangsaan. Saya dimaklumkan bahawa Cools masih boleh menyarung jersi negara kerana dia belum membuat penampilan bersama skuad senior tetapi dia telah memaklumkan kepada pihak kami yang dia mahu bermain untuk Belgium.
“Apa pun, kami menghormati keputusan Cools dan berharap dia akan mencapai pelbagai kejayaan bersama Belgium nanti,” katanya
Nama Cools berada dalam radar FAM kerana badan induk bola sepak negara itu turut berhajat agar bekas pemain OH Leuven tersebut membuat penampilan bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bermain di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bulan depan.
Bagaimanapun, Vingada memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha lebih keras untuk mengintai ramai lagi pemain berkualiti tinggi yang mana usaha itu bukan sahaja tertumpu di luar negara tetapi pendekatan di dalam negara turut diutamakan.