Liga Super Malaysia

Pulau Pinang hanya ada 2 pilihan : Kutip 3 mata atau tersingkir ke Liga Perdana 2018

Skuad Pulau Pinang perlu mempamerkan aksi konsisten dan berusaha sebaik mungkin untuk mencatatkan kemenangan berbaki 4 perlawanan ini bagi mengelakkan pasukan itu daripada tersingkir daripada saingan Liga Super musim ini.

Seorang penyokong setia Pulau Pinang, Roziemie Shazree berpendapat kejayaan Pulau Pinang menumpaskan Pahang 2-0 pada perlawanan di Stadium Negeri Pulau Pinang Batu Kawan, boleh menjadi titik tolak skuad Harimau Kumbang merapatkan dan memperbaiki kedudukan dalam carta liga super.

“Pulau Pinang harus mengelakkan dari tercicir sebarang mata untuk membolehkan mereka keluar daripada zon penyingkiran. Selepas ini Pulau Pinang akan berkunjung ke Kuching bagi menghadapi cabaran Sarawak.”

“Berdasarkan prestasi terkini pasukan, bagi 3 perlawanan terakhir, Pulau Pinang berjaya memperoleh 2 kemenangan bertemu Melaka dan Pahang. Berbanding dengan Sarawak yang mengalami kekalahan 3 kali berturut-turut. ”

“Rekod pertemuan lepas, Sarawak berjaya menewaskan Pulau Pinang di Batu Kawan 1-0 hasil jaringan Mark Hartmann pada mini ke 71 perlawanan,” katanya.

Photo : Laman web rasmi Penang FA

Sementara itu, jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan mahu pemain melupakan kemenangan dengan Pahang kerana ianya kini sejarah, dan mahu pemain terus fokus pada perlawanan liga super Sabtu depan menentang Sarawak di Kuching.

“Kesemua pemain menggalas tanggungjawab dengan baik pada perlawanan menentang Pahang dan menunjukkan sikap yang sangat terpuji. Bertemu Pahang bukanlah satu lawan yang mudah, tetapi mereka telah membuktikan apabila mereka berusaha dan tidak berputus asa, mereka mampu melakar kejayaan.”

“Lebih manis apabila ini adalah kemenangan pertama di hadapan penyokong Harimau Kumbang sendiri. Terima kasih kepada semua penyokong Harimau Kumbang yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan dan semestinya ini akan terus membakar semangat kesemua pemain,”

“Kesemua pemain harus bekerja keras dan mengejar kemenangan pada baki perlawanan yang ada. Selagi peluang masih belum tertutup, kami akan terus berjuang sehingga ke saat akhir bagi memastikan Pulau Pinang terus kekal di dalam saingan Liga Super pada musim hadapan,” katanya.

Baki empat perlawanan liga super yang akan datang bakal menentukan hala tuju skuad Harimau Kumbang pada masa depan atau Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) berdepan kesukaran membentuk skuad yang mantap musim depan. Mereka perlu kekal di pentas Liga Super kerana jika tidak, terdapat beberapa faktor akan menyukarkan mereka untuk ‘bernafas’ di Liga Perdana pada musim 2018.

Antara yang menjadi kebimbangan mereka ialah sejumlah besar pemain muda Penang yang berpotensi kini jadi buruan kebanyakan pasukan di Liga Malaysia. Majoriti pemain muda Pulau Pinang ini difahamkan kontrak mereka akan berakhir pada tahun ini dan bebas memilih hala tuju baharu pada tahun hadapan. Dengan tawaran lumayan yang dijangka sukar ditolak daripada beberapa pasukan gergasi Liga Super, mereka diramalkan tidak akan lagi bersama Pulau Pinang sekiranya jatuh ke Liga Perdana, musim depan.