Malaysia

Tiada alasan, Nelo harap anak buahnya pamer aksi terbaik

Jurulatih baru skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada yakin anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya untuk berjuang dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 walaupun baru beberapa hari membimbing skuad Harimau Malaya.

Sejak tiba di Malaysia pada 23 Mei lalu, Vingada yang berasal dari Portugal hanya mempunyai 15 hari mengendalikan latihan pusat sebelum pertemuan dengan Lubnan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin, esok.

Biarpun mengakui tempoh berkenaan singkat untuk benar-benar mengenali pemain sebelum aksi pertamanya bersama skuad kebangsaan, Vingada menganggapnya bukan masalah besar kerana sudah berpengalaman berdepan situasi seperti itu.

“Ada masanya situasi seperti ini terpaksa saya tempuhi dalam karier bersama skuad kebangsaan dan kelab kerana kadang-kala anda baru tiba dan dua hari selepas itu sudah ada perlawanan. Masa agak singkat tapi saya percaya dengan kemampuan pemain. Setakat ini mereka menunjukkan kesungguhan dan sudah bersedia untuk bersama-sama berjuang dalam pasukan ini,” katanya.

Nelo Vingada mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan di Larkin (Gambar: FAM)

Vingada turut mengharapkan anak buahnya mempamerkan aksi terbaik esok meskipun kehilangan 2 pemain dari Pahang yang cedera iaitu Matthew Davies dan Wan Zaharulnizam.

Sementara itu, skuad kebangsaan Lubnan hadir tanpa penggempur utama mereka, Mohammed Ghaddar, yang digugurkan daripada skuad kebangsaan. Ghadar dikatakan telah memilih untuk menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Skuad Lubnan menjalani sesi latihan di Stadium Tun Fatimah, Johor sejak kelmarin (gambar: FAlebanon)

Lubnan turut membawa 2 pemain yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia iaitu Mootaz Jounaidi, bekas pemain Felda United dan Abu Bakr El-Mel, penyerang baru pasukan kelantan.