Malaysia

Matthew Davies cedera dan terlepas aksi bertemu Lebanon

Skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila kehilangan seorang pemain pertahanan kanan dari Pahang, Matthew Davies yang mengalami kecederaan. Kecederaan yang menimpa Davies bermakna harapan kini terletak pada pemain pertahanan kanan dari Kedah, Rizal Ghazali untuk aksi perlawanan kelayakan Piala Asia bertemu Lebanon pada hari esok.

Minggu lepas, 4 pemain daripada pasukan Johor DT telah digugurkan daripada skuad kebangsaan kerana mengalami kecederaan. Mereka ialah Aidil Zafuan, Azrif Nasrulhaq, Fazly Mazlan dan S.Kunalan. Jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada mengesahkan Davies tidak akan beraksi bertemu pasukan Lebanon esok. Davies turut berharap agar rakan sepasukan melakukan yang terbaik dan memastikan pasukan negara meraih 3 mata dalam perlawanan pertama kelayakan Piala Asia.

“Saya mengalami kecederaan groin sejak 4 hari lepas dan perlu berehat selama seminggu. Mungkin saya tidak akan bermain pada perlawanan bertemu Lebanon esok,” kata pemain kelahiran Australia yang berusia 22 tahun itu.

“Saya mempunyai harapan tinggi pada perlawanan ini sebab itu saya mahu tunjukkan kemahiran saya dan memikat jurulatih baru. Tetapi tiada rezeki untuk saya beraksi esok. Selepas perlawanan esok,  saya akan kembali ke Australia bercuti bersama keluarga sebelum kembali semula ke Pahang untuk menghadapi saingan Liga Super bulan depan”, katanya.