Liga Super Malaysia Berita

Pahang lantik peguam, protes perpindahan Sumareh ke Police Tero

Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan bahawa pihaknya telah melantik peguam bagi memprotes tindakan Mohamadou Sumareh meninggalkan pasukan itu.

Ini selepas pemain berusia 25 tahun itu disahkan menyertai Police Tero FC semalam dan diumumkan secara rasmi oleh kelab Thailand itu.

“Tindakan Sumareh sudah melanggar syarat kontrak,” kata Suffian kepada Harian Metro.

“Pahang mempunyai tempoh 10 hari untuk memprotes perpindahannya ke Police Tero FC membabitkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

“Apa yang boleh saya katakan Sumareh bakal berdepan tindakan undang-undang kerana dia masih lagi mempunyai kontrak bersama Pahang.”

Sumareh mencetuskan kontroversi apabila jurulatih Pahang, Dollah Salleh mendedahkan pemain naturalisasi itu tidak menghadiri sesi latihan sejak sebulan lalu dan bukannya disebabkan kecederaan.

Kehilangannya itu menimbulkan spekulasi sama ada beliau telah pun menyertai pasukan lain, dengan JDT menjadi pasukan yang sering dikaitkan dengan Sumareh.

Namun, Sumareh kemudian dilaporkan sudah membatalkan kontrak bersama Pahang dengan mengaktifkan klausa 8.7, setelah dilaporkan tidak mendapat gaji lebih dari sebulan.