Liga Super Malaysia Berita

Perak jumpa wakil Aidil Sharin, mahu ganti Mehmet Durakovic

Perak dilaporkan mahu melantik jurulatih baharu bagi musim depan.

Ini susulan kekalahan memalukan 7-0 kepada JDT pada saingan Liga Super minggu lalu.

Utusan melaporkan, pengurusan Perak tidak boleh menerima sama sekali kekalahan itu dan mahu menggantikan Mehmet Durakovic dengan jurulatih Kedah, Aidil Sharin.

“Minggu ini wakil Aidil akan ke Ipoh bagi membincangkan tawaran kontrak,” menurut akhbar itu.

“Minat yang ditunjukkan Perak untuk mengambil Aidil cukup tinggi.

“Cuma buat masa sekarang masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya.

“Aidil juga masih ada kontrak dengan Kedah. Harap semuanya berjalan dengan lancar.”

Ia boleh dikatakan satu pengakhiran buruk buat Mehmet, selepas membantu Perak memenangi Piala Malaysia 2018 dan muncul naib juara Piala FA dan Piala Sumbangsih musim lalu.

Dalam saingan Liga Super pula, Mehmet membantu Perak meraih tempat kelima pada musim 2017, naib juara pada musim 2018 dan kembali di tangga kelima pada musim 2019.

Dengan saingan liga yang dijalankan satu pusingan sahaja musim ini, Perak menduduki tangga ketujuh dengan mengumpul lapan mata daripada enam perlawanan.

Bagaimanapun, Perak kemungkinan berminat untuk mendapatkan Aidil Sharin selepas melihat kepada prestasi jurulatih Singapura itu mengendalikan Kedah, sehingga memenangi Piala FA pada musim lepas.

Malah, Perak mungkin yakin dapat memujuk Aidil supaya berhijrah ke negeri itu berikutan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pasukan Kedah dan masih belum selesai sehingga ke hari ini.