Liga Premier Malaysia Berita

Norizam enggan belanja sakan, mahu langsai hutang Kelantan terlebih dahulu

Norizam Tukiman menafikan bahawa beliau mempunyai perancangan untuk menandatangani pemain berprofil tinggi untuk menguatkan pasukan Kelantan.

Sebaliknya, pemilik pasukan itu hanya mahu menumpukan kepada tunggakan gaji dan hutang daripada musim-musim sebelum ini.

“Buat masa ini keutamaan saya adalah fokus bayar hutang-hutang lapuk dalam tempoh dua minggu ini,” kata Norizam kepada Harian Metro.

“Selepas selesai isu itu, baru kita mulakan misi pasukan dan perancangan yang lebih baik untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak Kelantan.”

Pada masa sama, Norizam juga menilai prestasi jurulatih pasukan Yusri Che Lah dan para pemain dalam saingan Liga Perdana musim ini bagi mengenal pasti sama ada wajar untuk mengekalkan mereka pada musim depan.

“Dalam 70 hingga 80 peratus kontrak beliau (Yusri) saya akan sambung untuk tahun depan.

“Untuk pemain dalam pasukan, kita akan nilai kemudian mungkin tengok prestasi mereka dalam dua atau tiga perlawanan seterusnya kerana tidak adil untuk saya katakan sekarang kerana baru sahaja berada dalam pasukan.

“Saya tengok masa perlawanan pertama sebagai pemilik, pemain sudah bersemangat untuk bermain jadi kita beri peluang dahulu untuk mereka buktikan keupayaan masing-masing.”