Kedah akan memulakan sesi latihan pada 23 Jun selepas semua pasukan Liga Malaysia dibenarkan berlatih semula tanpa sentuhan fizikal di padang.
Jurulatih Kedah, Aidil Sharin berkata jadual latihan sudah dimaklumkan kepada semua pemain dan berharap mereka bersiap sedia untuk kembali ke padang.
“Kami sedang mempersiapkan diri untuk mengikuti dan mematuhi setiap peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam menangani COVID-19,” katanya kepada Arena Metro.
“Semua aturan ini akan meliputi garis panduan serta aspek kepatuhan sebelum, semasa dan selepas latihan diadakan.”
Aidil menjelaskan bahawa soal kecergasan dan penyatupaduan pasukan menjadi keutamaannya ketika ini, walaupun berdepan dengan masalah tunggakan gaji dan bakal kehilangan pemain.
“Saya sentiasa berhubung rapat dengan semua pemain dalam mengetahui permasalahan yang mereka hadapi termasuk isu tunggakan gaji dan selain itu, pemain-pemain senior Kedah juga turut berperanan dalam usaha mengukuhkan persefahaman pasukan dalam menghadapi isu semasa.
“Saya percaya bahawa dengan perkembangan yang ditunjukkan ini mampu mengukuhkan lagi perhubungan dan keyakinan setiap pemain yang ada dalam pasukan.” katanya.
“Dalam pasukan, tidak ada pemain yang lebih besar daripada pasukan malah apa yang lebih penting dan utama adalah meneruskan keutuhan serta kekuatan pasukan dalam menghadapi apa juga rintangan yang ditempuhi.”