Ia ibarat pertembungan buku dengan ruas apabila JDT II dan UKM FC berentap pada aksi timbal balik final Challenge Cup 2019 pada 4 dan 12 Oktober ini.
Kedua-dua pasukan Liga Premier itu tidak pernah tewas dalam laluan ke final dengan masing-masing memburu kejuaraan sulung pada saingan yang baharu diperkenalkan musim lalu.
Bagi pengurus Operasi Pasukan JDT II Mohd. Sukri Mosman, beliau berharap momentum yang sedang dicipta oleh pasukan utama, JDT mampu dijejaki JDT II yang masih menagih trofi sulung pada saingan Liga Malaysia sejak pasukan itu ditubuhkan.
Masih terasa kekecewaan gagal meraih kejuaraan trofi Liga Premier selepas dipintas Sabah, JDT II mahu menjadikan Challenge Cup sebagai medan menebus kekecewaan.
“JDT telah menjuarai Liga Super dan turut mara ke separuh akhir Piala Malaysia, jadi saya harap JDT II juga mampu jadikan ini sebagai satu pemangkin semangat.
“Kami telah kecundang pada tahun lepas pada saingan separuh akhir dan ini saatnya kami cuba penuhi sasaran dan matlamat pertama kami untuk mara ke final telah berjaya dicapai.
“Setelah tidak dapat meraih kejuaraan Liga Premier, saya harap Challenge Cup ini mampu menjadi penamat terbaik kepada pasukan dan semuanya terpulang kepada pemain.
“ Namun, pentas akhir adalah 50-50 dan seimbang kepada kedua-dua pasukan cuma situasi pada hari perlawanan yang akan menentukan segalanya, ” katanya.
JDT II mara ke perlawanan akhir Challenge Cup dengan rekod bersih tanpa kalah selepas muncul juara Kumpulan A dan menyingkirkan juara bertahan, Terengganu FC II pada separuh akhir melalui agregat 4-2.
Perlawanan akhir pertama akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, 4 Oktober ini dan UKM FC akan menjadi tuan rumah pada aksi timbal balik kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 12 Oktober ini.
Sementara itu, Pengurus UKM FC, Mohd. Fairus Shafie nyata gembira apabila pasukannya layak ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut dan berharap 2019 akan jadi detik terbaik mereka merangkul gelaran utama dalam saingan Liga Malaysia.
“Saya tidak mahu beri bebanan kepada pemain dan apa yang saya harapkan pemain berikan sahaja 100 peratus serta apa yang mereka ada, moga ada hasilnya nanti selepas 180 minit.
“Mungkin JDT II dilihat pasukan pilihan berbanding kami dan saya lebih suka perkatakan sebegitu cuma bola sepak ini kita tidak boleh jangkakan apa akan berlaku.
“Cuma satu perkara sahaja yang kami boleh janjikan, tiada laluan mudah kepada mereka dan kami akan bermain mati-matian untuk memenangi Challenge Cup, ” katanya.
UKM juga melakar rekod bersih tidak tewas pada persaingan Kumpulan B dengan merekodkan tiga kemenangan dan tiga keputusan seri sebelum cemerlang menyingkirkan Sarawak dengan agregat 7-1 pada peringkat separuh akhir.