Permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas membuat kenyataan terburu-buru yang menyatakan pihak MFL menolak permohonan mereka untuk menunda perlawanan.
Perak bakal bertemu Kuala Lumpur esok dalam kalender Liga Super meminta perlawanan tersebut ditundakan bagi mempersiapkan pasukan terbabit dengan aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia berdepan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC, Selasa ini.
PAFA dalam kenyataan maaf turut menyangkal beberapa dakwaan yang menyatakan pihak MFL tidak melayan permohonan mereka dan memahami beberapa proses perlu dilakukan termasuk meminta persetujuan daripada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Ahmad Faizal juga merakam setinggi penghargaan kepada pihak MFL diatas kesudian mempertimbangkan permohonan mereka.
“Untuk makluman, PAFA telah menghantar permohonan berkenaan jam 11.10 pagi semalam (Rabu).
“PAFA mengambil maklum MFL perlu melalui proses-proses tertentu termasuk mendapatkan persetujuan bersama pihak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum meluluskan permohonan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“PAFA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MFL di atas kesudian memberi pertimbangan terhadap permohonan untuk menunda tarikh perlawanan Liga Super antara Perak dan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur ke tarikh baharu,” jelas PAFA dalam kenyataan itu.
Kenyataan tersebut juga merakam penghargaan terima kasih kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan KLFA.
“Sekali lagi, PAFA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak FAM, MFL dan KLFA di atas jasa baik memberi pertimbangan dan kelulusan ke atas permohonan berkenaan meskipun permohonan ini dikemukakan dalam tempoh agak singkat sebelum perlawanan dengan Kuala Lumpur,” katanya.