Ole Gunnar Solskjaer mengakui dia perlu berjuang lebih untuk melihat Alexis Sanchez kembali kepada prestasi terbaik beliau selepas persembahan buruk penyerang Manchester United ketika bertemu Paris Saint-Germain.
United tewas 2-0 selepas kehilangan dua pemain, Anthony Martial dan Jesse Linggard pada babak kedua perlawanan yang memaksa Solskjaer memasukkan Juan Mata dan Sanchez.
Bekas pemain Arsenal ini masih gagal menunjukkan persembahan terbaik beliau sejak membuat perpindahan ke Old Trafford, Januari lalu dan banyak memanaskan bangku simpanan sejak Solkjaer mengambil alih kerusi pengurus.
Pemain berusia 30 tahun gagal menyesuaikan diri dengan rentak permainan serta gagal memberi impak yang besar selepas dimasukkan bagi mengganti Martial yang dilaporkan cedera.
Menilai prestasi Sanchez, Solskjaer berkata selepas kekalahan 2-0, “Saya tidak boleh berbuat apa-apa mengenai Alexis Sanchez. Apabila dia bermain, dia perlu mencari dirinya sendiri.
“Itulah realiti, Jesse dan Anthony telah menjadi sebahagian besar pasukan dan aksi babak kedua kami tidak mempunyai rentak dan keghairahan untuk masuk ke kawasan mereka.
“Ia adalah permainan yang baik dan ia akan menjadi sukar untuk menghadapi pasukan yang baik. Gol pertama selalu menjadi penting. Cara kami melepaskan gol pertama sangat mengecewakan. Gol kedua adalah kualiti – cara dia (Kylian Mbappé) masuk ke dalam kotak penalti kami sangat mengagumkan.”