Malaysia Berita

Geran Tahunan Bukan Jalan Pintas Selesai Isu Gaji – MFL

Masalah tunggakan gaji yang menimpa beberapa pasukan Liga Malaysia seperti tiada penghujungnya. Ia susulan daripada pengurusan kelab dan persatuan yang gagal berbelanja secara berhemah sehingga memberi kesan kepada para pemain.

Terbaru, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengingatkan kepada semua pasukan yang bernaung dibawah MFL agar tidak menggunakan geran tahunan sebagai jalan pintas dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Justeru, MFL tidak menolak kemungkinan menyekat geran tahunan mana-mana pasukan yang masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dalam satu kenyataan menyatakan tindakan ini perlu dilaksanakan bagi mengelak pasukan-pasukan Liga Malaysia menggunakan kesempatan dengan geran tahunan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

“Kepada mereka yang menunggu geran tahunan daripada MFL untuk menyelesaikan hutang pemain boleh tunggu sampai bila-bila. Untuk pengetahuan, geran tahunan ini adalah bagi musim 2019.

“Jika kami memberikan geran tahunan ini kepada pasukan terlibat (dengan masalah tunggakan gaji) kemudian mereka menggunakan geran tahunan ini untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji mereka pada tahun lalu, apa yang akan berlaku pula untuk musim 2019?

“Jadi masalah tidak akan selesai. Malah, kita hanya mengalami kitaran sama sahaja. Perkara ini harus dihentikan. Mereka wajib menyelesaikan dahulu tunggakan gaji sebelum MFL memberikan geran tahunan bagi musim 2019 kepada mereka,” katanya.

Selain daripada itu, MFL bakal memotong mata liga atau penyingkiran divisyen liga lebih bawah bagi mana-mana pasukan yang masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji. Namun, ia perlu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Harus diingat, apa saja keputusan yang diambil nanti adalah keputusan semua pasukan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mewakili semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia. Ia bukan keputusan saya atau pihak sekretariat MFL,” katanya.