Kolum Malaysia

Sukan Asia 2018: Apa selepas Korea Selatan?

Sejarah tercipta di Jakarta.

Setelah sekian lama, akhirnya Malaysia berjaya menumbangkan juara bertahan Sukan Asia, Korea Selatan yang diperkuat beberapa bintang Piala Dunia termasuk bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min.

Biarpun sekadar perlawanan peringkat kumpulan, tetapi kejayaan ini disambut dengan gembira oleh semua pencinta bolasepak Malaysia. Namun, di sebalik kegembiraan itu, ada juga yang skeptikal dan sinis dengan menyatakan kita hanya menang satu perlawanan dan bukan satu kejohanan.

Mereka yang skeptikal ini mungkin tidak sedar bahawa rakyat Korea Selatan sendiri juga bergembira ketika pasukan mereka menewaskan juara bertahan Piala Dunia, Jerman biarpun sudah sah tidak akan mara ke pusingan kedua.

Jadi apa selepas Korea Selatan?
Seterusnya kita akan berdepan Bahrain dengan kelayakan kita ke pusingan kedua sudah selamat. Kita dijangka berdepan Jepun atau Vietnam dalam pusingan seterusnya. Misi yang juga sukar, terutamanya jika kita bertemu Jepun.

Bagaimana pula dengan penyokong kita sendiri?
Mungkin sudah sampai masanya kita tidak terlalu memandang rendah keupayaan anak buah Datuk Ong Kim Swee ini. Cukuplah dengan pemikiran dan kata-kata negatif.

Bukan satu kesalahan untuk kita mengangkat dan menjulang pasukan kita sendiri. Jika bukan kita yang memuji, siapa lagi? Inilah pasukan yang sedang berjuang habis-habisan demi nama negara. Tidakkah ada sekelumit rasa bangga terhadap anak-anak muda ini?

Biarpun kita tidak berada di Jakarta, tetapi kita tetap perlu menyokong mereka. Tidak kira dengan sekadar menonton di tv perlawanan mereka atau kita boleh memberikan kata-kata semangat menerusi media sosial yang ada sekarang. Pastinya pemain-pemain ini akan dapat melihat dan membaca ucapan anda.

Dengan tumbangnya juara bertahan di tangan kita, pastinya pemain-pemain negara semakin bersemangat. Mungkinkah 2018 akan menjadi tahun yang manis untuk bolasepak Malaysia? Ya atau tidak, jangan lupa, sokonglah mereka. Selamanya Harimau Malaya.