Piala Malaysia Kajian & Analisis

Apa sudah jadi dengan Selangor?

Apa sudah jadi dengan Selangor?

Selepas tewas kepada pasukan Liga Premier, Sabah, 2-1 di Likas, juara 33 kali Piala Malaysia kini nampaknya bakal tersingkir awal daripada saingan Piala Malaysia.

Selangor kehilangan tiga pemain, Syahmi Safari, Evan Dimas dan Ilham Udin untuk kempen Piala Malaysia kali ini dan nampaknya mereka sangat terjejas biarpun mempunyai penjaring terbanyak Liga Super, Rufino Segovia.

Red Giants masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam aksi Piala Malaysia selepas tewas kesemua perlawanan mereka. Selangor tewas 0-3 kepada PKNP dan 0-2 kepada Pahang dalam dua perlawanan sebelum ini.

Dalam tiga perlawanan mereka, gawang Selangor sudah bolos sebanyak 7 kali dan hanya menjaringkan satu gol menerusi Sean Selvaraj dalam perlawanan menentang Sabah.

Melihat keputusan Selangor dalam aksi Piala Malaysia, mereka seakan-akan hilang lebih separuh tonggak mereka sedangkan mereka cuma hilang tiga pemain dengan mungkin Syahmi dan Evan sahaja yang boleh dikatakan pemain kesebelasan utama dengan Ilham bukanlah pemain yang boleh dikategorikan sebagai pemain kesebelasan utama buat Selangor.

Selangor merupakan antara pilihan untuk melepasi kumpulan D dan dikatakan bakal bersaing dengan PKNP untuk slot kedua. Tapi nampaknya impian Selangor untuk membawa kejuaraan Piala Malaysia ke-34 bakal terjejas.

Masih ada peluang untuk Selangor kerana masih ada baki tiga lagi perlawanan. Selangor perlu mencari motivasi untuk bangkit kerana jika mereka mempunyai impian untuk meneruskan usaha menjulang Piala Malaysia, mereka tidak boleh kalah atau seri dalam tiga perlawanan seterusnya. Jika tidak, skuad Selangor bakal berehat awal dalam saingan Piala Malaysia.