Piala Malaysia

Piala Malaysia: Johor Darul Ta’azim terasa dengan kehilangan tonggak utama

Ketika Safawi Rasid menggembirakan hati rakyat Malaysia, nampaknya ada pihak yang terasa dengan kehilangannya.

Dalam aksi Piala Malaysia 2018, nampaknya juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’azim (JDT) semakin tertekan selepas tewas perlawanan kedua mereka daripada tiga perlawanan.

Kekalahan kepada Kelantan di Kota Bharu nampaknya memberikan tekanan kepada JDT selepas mereka turut tewas kepada pasukan Liga Premier, MISC-MIFC dalam perlawanan pertama mereka di Larkin.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menyatakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris (TMJ) membuat keputusan melepaskan pemain terbaik JDT demi Malaysia. JDT melepaskan enam orang pemain mereka dan seorang pemain JDT II bagi Sukan Asia.

“Kejohanan Sukan Asia Bawah 23 (Junior Tournament) tidak termasuk dalam kalendar FIFA dan sepatutnya kami tidak perlu melepaskan pemain tetapi keutamaan JDT adalah kepada liga sebelum ini. Jika tidak, kami tidak akan melepaskan tujuh pemain yang selalu kami lakukan penggiliran dalam liga.

“ DYAM Tunku Mahkota Johor telah membuat keputusan meskipun saya dan jurulatih pastinya mahukan pemain terbaik berada di dalam pasukan, dan penjaring terbanyak kami tahun ini sepertimana semua orang tahu adalah Safawi Rasid.

“Tetapi walaubagaimanapun, baginda telah membuat keputusan untuk melepaskan mereka bagi mewakili pasukan kebangsaan. Oleh itu kami perlu menghormati keputusan tersebut dan bermain menggunakan beberapa pemain yang kami ada.”

JDT yang merupakan juara Piala Malaysia 2017 adalah antara pasukan yang terpaksa melepaskan tonggak utama mereka bagi saingan Sukan Asia. Pasukan lain yang turut melepaskan pemain mereka adalah Kedah (4 orang), Kuala Lumpur (2 orang) dan Pahang (2 orang). Selangor, PKNS, Kelantan, Perak dan PJ Rangers masing-masing melepaskan seorang pemain.