Malaysia Berita

Jaringkan dua gol menentang Korea Selatan, Safawi Rasid puji rakan sepasukan

Meskipun Safawi Rasid menjaringkan dua gol hasil daripada kepantasannya dan ketajamannya di hadapan gol, beliau tidak menerima pujian seorang diri sebaliknya menganggap rakan sepasukannya yang menyebabkan Malaysia berjaya menewaskan Korea Selatan 2-1 di Sukan Asia kali ini.

Pemain berusia 21 tahun itu juga mengakui sangat gembira dengan prestasi semasanya terutamanya selepas menjadi watak penting ketika menundukkan Korea Selatan meskipun memiliki bintang Piala Dunia, Son Heung-min.

“Kami hanya mendengar setiap arahan yang diberikan dan melaksanakannya dengan baik. Saya sangat berbangga dengan aksi rakan-rakan sepasukan dalam perlawanan ini.

“Kemenangan ke atas pasukan hebat seperti Korea Selatan yang diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam Sukan Asia sememangnya memberikan keyakinan kepada kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pemain yang berasal dari Kampung Bukit Chatak, Dungun, Terengganu itu memulakan kariernya bersama pasukan T-Team sewaktu berusia 15 tahun dan sentiasa berada dalam kesebelasan utama pasukan bagi setiap perlawanan.

Safawi yang ketika itu bermain di bahagian tengah kerap menjaringkan gol dari jarak jauh dengan menggunakan kaki kiri, selain sering dipilih untuk bersama Terengganu dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

Safawi kemudiannya meneruskan karier bersama pasukan T-Team sebelum menyertai JDT pada 2017.

Bakatnya semakin terserlah apabila dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun lalu jaringannya menerusi rembatan jarak jauh membantu Malaysia menundukkan Brunei serta menjaringkan satu lagi gol ketika bertemu Myanmar.

Meskipun tewas dalam perlawanan akhir kepada Thailand, namun Safawi dipilih sebagai antara pemain terbaik Sukan SEA selepas menampilkan aksi konsisten.

Selepas dua perlawanan di Bandung, Safawi telah menjaringkan tiga gol termasuk satu gol menerusi penalti ketika Malaysia menumpaskan Kyrgzystan 3-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E.

Malaysia kini di tangga pertama dengan enam mata manakala Korea Selatan berada di tangga kedua dengan tiga mata.

Malaysia akan bertemu pasukan di tempat terbawah Bahrain dalam perlawanan terakhir esok dengan misi kemenangan supaya kedudukan teratas tidak dirampas semula oleh Korea Selatan yang akan bertemu Kyrgzystan.