Malaysia Berita

Pemain tunjukkan perwatakan sebenar-Ong Kim Swee

Jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee memuji perwatakan pemainnya yang memiliki semangat juang tinggi serta perasaan ingin menang dalam kejayaan pasukannya menundukkan juara bertahan Korea Selatan dalam saingan Kumpulan E, Sukan Asia 2018 baru-baru ini.

Katanya, pasukan muda negara juga berjaya memanfaatkan setiap peluang yang terhidang dengan baik untuk memperoleh kemenangan bagi mengesahkan tempat dalam persaingan kalah mati.

Malah, pasukannya berjaya meneruskan momentum positif selepas mencipta kemenangan ke atas Kyrgyzstan.

“Saya akui pasukan ini tidak menampilkan corak permainan berkualiti tetapi mereka memiliki kelebihan dari segi kemahiran individu yang boleh mengubah keputusan.

“Apa yang penting adalah pemain-pemain menunjukkan perwatakan sebenar, percaya mampu mendapatkan keputusan yang bagus dan mereka membuktikan bahawa kerja keras serta keinginan boleh menghadirkan keputusan baik dalam apa-apa jenis sukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, jurulatih B-23 Korea Selatan, Kim Hak-bum mengakui silap melakukan percaturan dengan menggilirkan pemain terlalu awal sehingga mereka kehilangan mata penting dalam temasya kali ini.

Katanya, mereka terlalu banyak memberikan ruang kepada Malaysia dan tidak menggunakan strategi permainan yang dirancang serta gagal menghantar bola ke bahagian serangan untuk meraih gol.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku. Saya menggilirkan pemain terlalu awal dan bertindak menukar enam pemain dalam perlawanan ini.

“Saya akui ini adalah kesilapan saya. Kami terpaksa memilih laluan berliku kali ini tetapi saya percaya kami mampu melangkah lebih jauh,” katanya.