Berita Malaysia

Sukan Asia 2018: Malaysia akan berdepan Samurai Biru di pusingan seterusnya

Selepas Korea Selatan, nampaknya satu lagi pasukan gergasi Asia Timur akan menjadi lawan buat skuad bawah 23 tahun Malaysia.

Biarpun belum bertemu Bahrain dalam perlawanan terakhir, tetapi anak buah Datuk Ong Kim Swee sudah sah layak ke pusingan seterusnya sebagai pendahulu kumpulan ekoran format pertemuan ‘head to head’ yang memberi kelebihan kepada skuad negara.

Malaysia akan bertemu Jepun pada 24 Ogos nanti di Stadium Patriot, Bekasi pada pukul 8.30 waktu Malaysia.

Jepun tewas kepada Vietnam 0-1 menerusi jaringan Nguyen Quang Hai seawal minit ke-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan D yang berlangsung petang tadi.

Kekalahan ini menyebabkan Jepun gagal menjadi pendahulu Kumpulan D sekaligus terpaksa berdepan Malaysia dalam pusingan seterusnya.

Malaysia yang akan bertemu Bahrain dalam perlawanan terakhir esok sah menjadi pendahulu kumpulan selepas memungut enam mata daripada dua perlawanan termasuk kemenangan ke atas juara bertahan Sukan Asia, Korea Selatan pada hari Jumaat yang lalu.

Jika Vietnam mampu menewaskan Jepun, pastinya Malaysia juga mampu mencipta kejayaan yang sama jika mereka beraksi dengan penuh semangat seperti ketika berdepan Korea Selatan. Ayuh Malaysia!