Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli memohon maaf kepada semua penyokong Argentina selepas dimalukan Croatia 3-0 pagi tadi.
Tiga gol dijaringkan oleh Ante Rebic menerusi kesilapan penjaga gol Argentina, Willy Caballero, disusuli jaringan Luka Modric dan Ivan Rakitic.
Katanya, kekalahan itu adalah kesilapan yang dilakukannya dan memohon maaf kepada penyokong di stadium.
“Pertamanya, saya memohon kemaafan terutamanya kepada mereka yang hadir dari jauh menyaksikan Argentina.
“Saya bertanggungjawab terhadap keputusan yang bukan seperti yang diimpikan penyokong,” katanya.
Keputusan itu memaksa Argentina untuk bekerja keras menewaskan Nigeria pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan bagi melayakkan diri ke peringkat kalah mati.
“Saya perlu teliti kembali perancangan untuk perlawanan ini.
“Jika saya melakukan perancangan yang berbeza, sudah pasti hasilnya lebih baik. Tidak realistik untuk meletakkan tekanan kepada Caballero.
“Kami mengasak hebat kubu pertahanan Croatia dan menguasai separuh padang, namun sebaik sahaja mereka menjaringkan gol, kami hilang rentak.
“Kami terkesan secara emosi dan kami tidak mempunyai apa-apa cara untuk mengubah keadaan.
“Saya sangat menghargai anak buah saya, saya fikir ini adalah skuad yang sangat baik namun kami langsung tidak memiliki keserasian.
“Kami perlu mengambil kesempatan dalam perlawanan terakhir nanti. Kami berjuang untuk itu dan berharap dapat meneruskan kemaraan,” katanya.
Tatkala Messi masih mencari rentak, seteru utamanya, Cristiano Ronaldo telah menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan.
Begitupun, Sampaoli menegaskan Messi tidak boleh dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo.
“Ronaldo merupakan pemain yang sangat bagus, lihatlah pencapaian kelab dan negaranya.
“Ketika ini, kita tidak sepatutnya membandingkan kedua-dua pemain ini. Realitinya di dalam skuad Argentina, kami masih dibayangi Leo.
“Kemampuannya menjadi terhad kerana pasukan tidak menyesuaikan diri dengannya seperti yang sepatutnya. Sebagai jurulatih, kami perlu menangani perkara ini.
“Saya sentiasa mencari kedudukan terbaik untuk membantu pemain di atas padang. Seorang pemain perancang menggalas tanggunjawab yang besar. Kami tidak dapat mencari keserasian yang akan membawa manfaat kepada Argentina dan Leo,” katanya. – AFP