Liga Super Malaysia Berita

FIFA kenakan sekatan perpindahan terhadap Sarawak United, berhutang RM150,000 dengan Sandro da Silva

FIFA bertindak mengenakan sekatan perpindahan terhadap Sarawak United selepas gagal melunaskan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain importnya, Sandro da Silva yang berjumlah lebih RM150,000.

Sekatan itu menyaksikan Sarawak United tidak boleh mendaftar sebarang pemain tempatan dan import untuk 3 jendela perpindahan akan datang.

“Keputusan FIFA sudahpun dikeluarkan jadi mereka harus jelaskan pembayaran itu dalam tempoh masa 45 hari iaitu sehingga 18 Jun lalu,” kata peguam Sandro, Mohd Zhafri Aminurashid kepada Berita Harian.

“Tetapi mereka gagal melakukannya sehingga tarikh yang dinyatakan.

“Jadi pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing sehingga tiga tempoh pendaftaran pemain secara berturutan.”

Beliau juga menjelaskan, FIFA memaklumkan keputusan itu dibuat kerana Sarawak United gagal mematuhi obligasi kewangan mengikut keputusan yang ditetapkan sebelum ini sekali gus menyaksikan hukuman itu terpaksa dikenakan.

Justeru, FIFA memaklumkan ahli gabungan mereka yang menaungi pasukan itu iaitu FAM perlu memastikan hukuman itu dilaksanakan di peringkat kebangsaan.

Lebih parah, Zhafri tidak menolak hukuman lebih berat menanti Sarawak United andai terus gagal membayar tunggakan gaji Sandro.

“Kalau perkara ini berlanjutan, kes boleh dibawa ke Jawatankuasa Disiplin FIFA dan selepas itu, hukuman lebih berat boleh dikenakan kepada mereka.

“Antaranya, penolakan mata atau sekatan untuk mendaftarkan pemain.”

Sarawak United menduduki tangga ke-9 dalam Liga Super, meraih 10 mata selepas 11 perlawanan.