Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Mbappe jadi wira, Perancis bergelut tewaskan Peru

Kylian Mbappe menjadi penjaring gol termuda Perancis di kejohanan antarabangsa dengan membantu Perancis menewaskan Peru 1-0.

Namun, di sebalik kemenangan itu, Perancis terus menunjukkan aksi kurang konsisten dengan Peru menunjukkan semangat melawan terutamanya di separuh masa kedua.

Ketumpulan bahagian serangan Peru, biarpun ketua pasukan mereka, Paolo Guerrero kembali di bahagian serangan menyebabkan Peru terpaksa pulang awal. Ini analisis bagi perlawanan di antara Peru dan Perancis.

Giroud kembali ke kesebelasan utama

Selepas menggunakan taktik serangan tiga serangkai di perlawanan pertama, Perancis kali ini menggunakan formasi penyerang tunggal dengan meletakkan Olivier Giroud sebagai penyerang utama. Antoine Griezmann yang beraksi sebagai penyerang di perlawanan pertama, kali ini bermain di belakang Giroud yang pastinya akan menggunakan kelebihan fizikalnya bagi membuka ruang untuk Griezmann. Satu perkara yang agak mengejutkan adalah Perancis tidak menggunakan Thomas Lemar atau Ousmane Dembele, tetapi meletakkan Blaise Matuidi di bahagian sayap kanan.

Guerrero kembali

Selepas berusaha keras membuat rayuan dan meminta sokongan semua ketua pasukan dari kumpulan mereka, akhirnya ketua pasukan, Paolo Guerrero kembali mengetuai bahagian serangan, mengambil tempat Jefferson Farfan. Peru kekal menggunakan formasi 4-2-3-1 seperti perlawanan lalu, cuma kali ini pastinya jika ada sepakan penalti, Cueva mungkin terpaksa memberikannya kepada Guerrero. Pedro Aquino yang bermain di liga Mexico bersama Leon mengambil tempat Renato Tapia di bahagian tengah bersama Yoshimar Yotun.

Apa formasi terbaik Perancis?

Kylian Mbappe menjadi penjaring kedua termuda sepanjang zaman dengan memberikan gol pendahuluan untuk Perancis. Namun, di sebalik gol tersebut, tidak dapat dinafikan Perancis masih bergelut mencari formasi sesuai untuk mereka. Mempunyai ramai pemain bintang tidak berguna jika tiada formasi tepat. Matuidi mungkin memberikan kelebihan ketika membantu bertahan, tetapi dia kurang efektif ketika menyerang. Mereka mempunyai pemain dengan kelebihan fizikal seperti Giroud, tetapi tidak banyak membuat hantaran lintang untuknya. Benjamin Pavard pula bagus ketika bertahan, tetapi dia mungkin jika ada seorang pemain bek menyerang ala Benjamin Mendy dapat membuatkan Mbappe lebih ke dalam membantu Griezmann dan Giroud. Perancis perlu cepat mencari formasi sesuai untuk mengisi bintang-bintang mereka jika mahu mara lebih jauh di Piala Dunia.

Peru perlu guna Carillo 

Di sebalik kehadiran semula Paolo Guerrero, bintang sebenar Peru adalah Andre Carillo. Mereka sangat memerlukan Carillo berada di tahap terbaik dalam setiap perlawanan. Kelincahan pemain ini boleh menarik pemain lawan ke arahnya. Setiap kali dia mendapat bola, dua atau tiga pemain Perancis akan datang untuk mengawalnya. Agak pelik apabila Carillo ditukar ke sayap kiri ketika Blaise Matuidi sudah dilayangkan kad kuning. Carillo sepatutnya kekal di sayap kanan untuk mengasak Matuidi. Kemasukan Farfan memberikan tenaga tambahan di bahagian serangan. Malangnya di sebalik penguasaan mereka di separuh masa kedua, ketumpulan bahagian serangan Peru mengecewakan mereka.

Tiada perlawanan mudah bagi pasukan gergasi

Kita sering mendengar ungkapan "Tiada perlawanan mudah" terutamanya daripada pasukan besar menjelang Piala Dunia. Namun, selepas 22 perlawanan di Piala Dunia, kita boleh katakan memang tiada perlawanan mudah untuk pasukan gergasi di Piala Dunia. Semua pasukan sudah mula mempunyai perancangan teliti dan dapat menyaingi pasukan-pasukan gergasi. Selain daripada perlawanan melibatkan Russia dan Belgium, hampir kesemua perlawanan berakhir dengan kelebihan satu gol. Mungkin empat tahun lagi kita akan menyaksikan lagi peningkatan daripada semua pasukan yang bertanding di Piala Dunia.