Luar Negara Eropah

Senarai kelab Eropah yang berjaya melakukan kejutan di musim 2017/18

Kita sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada musim 2017/18.

Andres Iniesta tidak lagi akan bersama Barcelona, begitu juga Gianluigi Buffon yang akan meninggalkan Juventus dan Arsene Wenger mengakhiri tempoh 22 tahun bersama Arsenal.

Selain berita perpisahan beberapa legenda bola sepak, musim ini juga tidak lepas daripada kejutan demi kejutan daripada beberapa pasukan di bawah.

Eintracht Frankfurt

Dua musim lalu, Eintracht Frankfurt hanya mampu bertahan di Bundesliga melalui aksi playoff tetapi di bawah kendalian Niko Kovac, mereka mengalami peningkatan. Selain menamatkan saingan di tempat kelapan liga, mereka juga menjulang Piala Jerman apabila menewaskan Bayern Munich 3-1 di final.

Les Herbiers

Les Herbiers bukan satu nama besar di Perancis. Bahkan, mereka terpaksa menerima hakikat akan beraksi di divisyen keempat pada musim dpena selepas menduduki tangga ke-15 saingan Championnat National. Bagaimanapun, mereka melakukan kejutan apabila melangkah ke final Piala Perancis pada musim ini. Malangnya, mereka tewas 2-0 di tangan Paris Saint-Germain.

Liverpool

Pertama kali melangkah ke Liga Juara-Juara Eropah sejak musim 2014/15, Liverpool mencipta kejutan apabila melangkah ke final pada musim ini. Lebih mengejutkan, mereka muncul selaku pasukan paling produktif apabila mencatat 46 gol daripada 14 perlawanan. Mereka perlu menewaskan Basel, Manchester City, Barcelona serta AS Roma untuk melangkah ke final.

Chelsea

Musim ini sememangnya bukan musim yang bagus buat Chelsea, namun berbanding seteru mereka, The Blues masih mampu menjulang Piala FA. Sebuah piala yang mampu menjadi trofi terakhir buat Antonio Conte selepas kemungkinan dia akan meninggalkan Stamford Bridge pada akhir musim ini.

AS Roma

Tiada yang menyangka Roma akan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah. Mereka bukan calon juara tetapi jelas sekali mereka mampu mengejutkan beberapa kelab besar sejak aksi peringkat kumpulan. Dia menjadi juara kumpulan yang turut disertai oleh Atletico Madrid dan Chelsea serta menundukkan juara Sepanyol, Barcelona.

FC Tosno

Kejutan turut berlaku di Liga Russia pada musim ini. FC Tosno, pasukan yang tersingkir daripada Liga Premier Russia, mengejutkan banyak pihak apabila menjuarai Piala Russia. Mereka menewaskan Spartak Moscow di separuh akhir dan menang 2-1 ke atas Avangard Kursk di final untuk menjulang trofi tersebut buat kali pertama.

Burnley

Selepas kembali ke Liga Perdana Inggeris dengan hebat, musim lalu mereka bergelut dengan zon penyingkiran dan menamatkan saingan liga di tangga ke-16. Musim ini, masih di bawah kendalian Sean Dyche, mereka melakar kejutan apabila menamatkan musim di tangga ketujuh. Situasi itu membolehkan mereka berkesempatan untuk bersaing di pentas Eropah, musim depan.

Hoffenheim

Dua tahun lalu, Hoffenheim menjadi salah satu calon untuk tersingkir di Bundesliga, namun sejak Julian Nagelsmann hadir, nasib mereka berubah. Selepas musim lalu menamatkan saingan di tangga keempat, musim ini mereka menduduki tangga ketiga liga, menjadi satu pencapaian yang membanggakan dalam beberapa tahun terakhir.