Malaysia Liga Super Malaysia

Kuala Lumpur mahu bawa masuk penyerang Liga Thai untuk menggantikan Junior Aparecido

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Mohd. Ikhsan mengesahkan salah seorang pemain import pasukannya, Junior Aparecido akan ditamatkan kontrak secara persetujuan bersama sebelum berakhir jendela kedua perpindahan pemain pada 3 Jun ini.

Katanya, perkara itu dibuat setelah prestasi pemain yang berasal dari Sao Paulo, Brazil itu kurang memuaskan sepanjang 10 perlawanan liga berlangsung.

Malah, bekas pemain import Selangor dan Sarawak itu sudah pun direhatkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, KLFA tidak terburu-buru untuk meleraikan kontrak bagi mengelakkan sebarang kesalahan berhubung penamatan kontrak.

“Dia antara pemain yang sedang disemak prestasi dan kedudukannya. Kami juga terikat dengan perjanjian dan harus memastikan tidak melanggar perjanjian itu.

“Tetapi, dia juga perlu berlaku adil kepada KLFA. Kalau tidak beraksi dengan baik, kita tiada pilihan lain dan perlu mencari pemain lain sebagai pengganti,” katanya kepada Stadium Astro.

Pasukan The City Boys ketika ini bakal mendapatkan pengganti Aparecido, iaitu penyerang dari Belanda, Sylvano Comvalius yang sedang bermain untuk kelab Thailand, Suphanburi FC.

Sementara itu, status penjaga gol, Sharbinee Allawee masih lagi diteliti dan sedang menunggu laporan perubatan sebelum ditawarkan untuk membantu pasukan bagi baki saingan musim ini.

Setakat ini, Kuala Lumpur menduduki tangga kesembilan dengan mengumpul 10 mata dalam 10 perlawanan, satu mata kurang di belakang Selangor dan berkongsi kedudukan dengan Melaka United yang hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.