Luar Negara Eropah

Tribe Scout: Achraf Hakimi, pemuda Maghribi yang menyinar di Madrid

Akademi Real Madrid, La Fabrica, telah menghasilkan banyak bek kanan berkualiti dalam dua dekad terakhir. Bermula daripada Michel Salgado, Alvaro Arbeloa sehingga Dani Carvajal ketika ini. Senarai itu tampak bakal terus diteruskan dengan kemunculan pemain muda dari Maghribi, Achraf Hakimi.

Walaupun memiliki darah Maghribi, Achraf dilahirkan di Sepanyol. Pemuda berusia 19 tahun itu hampir dipinjamkan ke Deportivo Alaves pada awal musim 2017/18, namun Zinedine Zidane memutuskan untuk mengekalkannya selepas Danilo berhijrah ke Manchester City. Kepercayaan telah diberikan Zidane buat Achraf untuk menjadi bek kanan kedua Madrid di belakang Carvajal.

Masalah jantung yang dialami oleh Carvajal telah membuka jalan buat Achraf untuk melakukan debutnya bersama Madrid. Dia tampil buat kali pertama bersama skuad utama Los Blancos ketika aksi bertemu Espanyol di Santiago Bernabeu. Bukan sekadar kukuh ketika bertahan dengan catatan tiga halangan, dia juga aktif menyerang dengan peratusan ketepatan serangan mencapai 92 peratus.

Selepas debut itu, dia menerima pujian daripada media, pengurus dan pemain-pemain senior. Zidane menyatakan bahawa Achrah beraksi begitu baik dan matang, sementara Carvajal menjelaskan bahawa pemain muda itu tidak memberikan kejutan kerana sering melihat aksi hebat Achraf ketika sesi latihan.

Walaupun minit bermainnya berkurangan selepas Carvajal pulih. Achraf masih mampu meraih 15 penampilan (12 kesebelasan utama) dalam musim pertamanya. Dalam LaLiga, dia menghasilkan dua jaringan.

Secara dasarnya, penampilan epiknya sudah dijangka oleh ramai orang, terutamanya mereka yang berada di Madrid. Achraf sering dibawa ke jelajah pramusim Madrid dalam dua tahun terakhir. Ketika masih mewakili Real Madrid Castilla, Achraf sering menjadi pilihan utama dan disebut bakal menembusi skuad utama pada satu hari nanti.

Terdapat beberapa kelebihan yang dimiliki oleh pemain yang sering dipanggil Arra oleh rakan sepasukannya ini. Dia memiliki kepantasan yang mampu bersaing dengan pertahanan lawan. Dia juga mempunyai ketepatan hantaran pendek yang baik dan gelecek yang memukau. Terdapat satu perbezaan ketara antara gaya permainannya dengan Carvajal.

Jika seniornya itu lebih suka untuk melakukan hantaran lintang, Achraf memilih untuk melakukan kombinasi dengan rakannya yang sama-sama berada di bahagian sayap dan menyusur masuk ke dalam kotak penalti lawan untuk memberikan pilihan serangan. Kemahirannya untuk melakukan hantaran pendek dilihat daripada ketepatan hantaran yang mencatat 89.2%. Malah, dia juga mencatat 2.5 hantaran utama dalam setiap perlawanan, catatan terbanyak di antara bek sayap Madrid yang lain.

Selain aspek teknik, Achraf juga merupakan pemain muda yang sudah kukuh mentalnya. Dia mempunyai kepercayaan diri serta kecerdasan yang bagus. Ketika beraksi bersama pasukan B-17 Madrid, Achraf mampu menjaringkan gol penalti yang unik. Dia menghayun kaki dan melepaskan kasutnya untuk mengalihkan perhatian penjaga gol sebelum menendang bola tanpa masalah. Dia juga mampu mengekalkan ketenangan ketika beraksi di pentas besar seperti Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, Achraf masih berpeluang untuk terus berkembang. Dia masih boleh meningkatkan kualiti hantaran silangnya yang dianggap sebagai kelemahan utama pada dirinya. Dia juga sering membuat keputusan yang salah ketika memegang bola yang menjurus kepada kerendahan jumlah bantuan jaringan yang dilakukan. Dalam dua musim terakhir, dia tidak mencipta sebarang bantuan jaringan, baik bersama skuad Castilla dan senior Madrid serta pasukan kebangsaan Maghribi.

Selain itu, dia juga harus meningkatkan kemampuan fizikalnya. Walaupun memiliki tubuh yang agak tinggi (180 sentimeter), namun beratnya hanya 69 kilogram, kureang 4-5 kg untuk mencapai berat ideal. Ia memberikan kesan kepada peratusan perebutan bola udara apabila hanya meraih 54.3%. Bagaimanapun, melihat kepada usianya yang baru mencecah 19 tahun, tubuhnya masih mampu terus membesar.

Secara umum, musim debut Achraf pastinya memuaskan. Dia menjadi satu-satunya pemain pertahanan remaja yang mencatat lebih daripada 10 penampilan dalam lapan pasukan teratas LaLiga musim ini. Namun, dia pastinya dahagakan pengalaman beraksi di pasukan utama, seperti ketika Carvajal dijual ke Leverkusen sebelum dibeli kembali. Dipinjamkan sudah tentu menjadi pilihan yang menarik buatnya, namun melihat kepada idea Zidane yang meletakkannya sebagai cadangan buat Carvajal, mungkin dia akan dibiarkan berkembang bersama Los Merengues.

Sudah pasti, dia akan menjadi sebahagian daripada skuad Maghribi menjelang Piala Dunia 2018. Di Maghribi, dia begitu dicintai dan dipuja, selepas muncul pemain Maghribi pertama yang menyarung jersi Real Madrid. Walaupun dikelilingi oleh barisan bintang Madrid, Achraf Hakimi telah menghasilkan sinar cahayanya sendiri.