Peningkatan populariti pemain bola sepak dari Asia di benua Eropah menjadikan satu fenomena yang menggembirakan jutaan peminat bolasepak di rantau ini. Bermula dari Son Heung-Min yang begitu menyinar di Tottenham Hotspur, pemain sayap Iran, Alireza Jahanbakash, sempat menjadi penjaring terbanyak Liga Eredivisie Belanda, sehinggalah melihat kebanjiran pemain dari Jepun di Bundesliga Jerman.
Berkembangnya pemain-pemain dari Asia di saingan Eropah tidak hanya berhenti di setakat itu sahaja. Baru-baru ini, wujud laporan bahawa pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris , Manchester City, menunjukkan minat terhadap pemain muda dari Asia dan telah melakukan pelaburan terhadap pemain itu. Nama pemain tersebut adalah Ritsu Doan, bintang muda berusia 19 tahun yang kini mewakili kelab Belanda, FC Groningen.
Bagaimanapun, ia tidak bererti City akan membeli Doan. Menurut De Telegraaf, City hanya akan membantu Groningen untuk melunaskan nilai Doan dari Gamba Osaka, yang berjumlah 2 juta EURO. Namun, ia tetap tidak bermaksud City akan memilikinya kerana City hanya mengaut keuntungan daripada penjualan Doan dari Groningen dan boleh menggunakan kelebihan itu apabila Doan menarik hati Pep Guardiola.
Pengarah teknikal Groningen, Ron Jans, telah menjelaskan situasi ini.
“Ketika ini, segalanya di tangan kami. City sememangnya telah menawarkan bantuan untuk membayar tetapi keputusan berada di pihak kami. Hubungan dengan City ketika ini dilihat positif,” kata Jans kepada De Telegraaf.
Pelaburan City terhadap Doan dilihat sangat masuk akal. Ketika ini, pemain yang beraksi di barisan tengah ini salah seorang pemain muda terbaik dari Jepun. Apabila melihat kembali perkembangan pemain dari Asia, tentunya City mahu mengambil peluang dan membantu Groningen mendapatkan Doan.
Penampilan Doan juga menerangkan perkara ini. Walaupun baru berpindah, Doan telah menjadi pilihan utama di Groningen. Selepas menjalani 27 perlawanan di Eredivisie, dia telah mengutip lapan gol serta tiga bantuan jaringan, menjadikannya sebagai salah seorang penjaring terbanyak dari Asia di Eropah pada musim ini.