Malaysia Berita

Malayan Tigress sertai kejohanan di Arab Saudi

Skuad bola sepak kebangsaan wanita negara, Malayan Tigress secara rasminya akan menyertai Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi dari 18 hingga 30 September 2023.

Kejohanan itu merupakan anjuran Konfederasi Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) yang menampilkan enam pasukan iaitu Malaysia, Laos, Pakistan, Bhutan, Lebanon dan tuan rumah, Arab Saudi.

Kumpulan A terdiri daripada Malaysia yang kini di ranking ke-89 dunia, Arab Saudi di kedudukan ke-170 dan Pakistan ke-157 dunia manakala kumpulan B pula menyaksikan Laos yang di ranking ke-87 dunia bersama Lebanon di kedudukan ke-138 dan Bhutan ke-171 dunia.

“Jika kita lihat kepada ranking kesemua pasukan bertanding, ia dapat memberi faedah kepada pelan jangka panjang skuad bola sepak wanita kebangsaan dari aspek teknikal serta memberi peluang untuk mereka beraksi di dalam persekitaran yang berprestasi tinggi,” kata jurulatih negara, Soleen Al-Zoubi.

“Selain itu, kita juga boleh mengadakan program pertukaran sebagai inisiatif pembangunan pemain selain mempersiapkan barisan pemain kebangsaan ini untuk perlawanan-perlawanan antarabangsa di masa hadapan.”

Saingan kumpulan akan berlangsung secara liga sepusingan yang mana dua pasukan teratas layak ke separuh akhir pada Rabu, 27 September 2023.

Dua pasukan yang menang akan bertemu di perlawanan akhir manakala dua pasukan yang tewas akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga pada Ahad, 30 September 2023.