Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Malaysia mampu cabar Piala AFF 2022, walaupun tanpa 11 pemain JDT

Jurulatih negara, Kim Pan-gon mengambil dari sudut positif terhadap barisan pemain yang berpotensi untuk beraksi di Piala AFF 2022 walaupun tanpa kehadiran 11 pemain JDT.

Ini termasuk Arif Aiman, Akhyar Rashid, Shahrul Saad, La’vere Corbin-Ong, Nazmi Faiz Mansor, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail dan Syahmi Safari yang sering beraksi dengan skuad kebangsaan.

Hanya dua pemain JDT iaitu Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah Usman yang akan beraksi di Piala AFF 2022.

“Saya kena terima situasi ini,” kata Pan-gon ketika ditemui pemberita dalam sesi kem latihan pusat semalam.

“Saya tidak mahu merungut, ia sudah ada dalam peraturan FIFA dan ia dibenarkan. Saya terima dan saya akan buat yang terbaik dengan pasukan ini.

“Kita cuba membentuk pasukan yang bagus, sebab itu kita kena positif. Saya boleh jumpa pemain baharu dan saingan antara pemain akan menjadi lebih kompetitif dalam skuad kebangsaan.”

Skuad kebangsaan akan mengadakan latihan bersama skuad B-23 yang dikendalikan oleh E. Elavarasan selama dua hari iaitu Rabu dan Khamis sebelum mengadakan perlawanan tertutup pada hari Jumaat.

“Sukar untuk mengatakan yang kita mahukan sesuatu seperti mahu jadi juara, tetapi kita mahu dapatkan keputusan yang baik.

“Kadang-kadang, saya selalu menekankan kepada pemain, kita tidak hanya tengok kepada keputusan, tetapi juga prestasi, cara persiapan dan kita perlu tunjukkannya dengan profesional.

“Kalau kita dapat keputusan bagus, ini hadiah kepada peminat. Tetapi sikap kita mestilah buat yang terbaik, jangan merungut. Jangan tengok perkara yang dah berlalu, jangan tunjuk yang kita kecewa. Kita perlu bangga kerana kita sudah buat yang terbaik.

“Dalam situasi kita, apa yang boleh dibuat, kita akan lakukannya. Jangan mengalah, kita perlu berikan yang terbaik untuk Malaysia, itu tugas kita.”