Piala Malaysia Berita

JDT juara Piala Malaysia 2022, julang 4 piala dalam satu musim

Johor Darul Ta’zim muncul juara Piala Malaysia 2022 apabila menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mencipta sejarah apabila menjulang 4 piala dalam satu musim iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan terkini Piala Malaysia.

Ini juga kali ke-3 JDT muncul juara Piala Malaysia selepas 2017 dan 2019.

Kemenangan itu juga merupakan trofi ke-22 yang dimenangi JDT sejak ditubuhkan pada 2013.

Kedua-dua pasukan bergelut untuk mencari rentak permainan di awal separuh masa pertama, namun JDT lebih banyak mencipta peluang di hadapan gol.

Ketika perlawanan menghampiri hujung separuh masa pertama, Selangor dihadiahkan sepakan penalti di apabila Caion yang cuba menyambut bola hantaran Mukhairi Ajmal dikasari oleh Matthew Davies dalam kotak penalti.

Caion tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti, menewaskan Farizal Marlias.

Bagaimanapun, JDT menyamakan kedudukan apabila Bergson menanduk masuk bola hasil hantaran Arif Aiman hanya dua minit selepas dibolosi pihak lawan.

Kedudukan yang terikat itu menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan asakan dan serangan di separuh masa kedua.

Namun, ketika pertahanan Selangor cemas dengan serangan pihak lawan pada minit ke-59, tendangan Fernando Forestieri melencong melepasi penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid yang hanya berdiri melihat bola melayang masuk ke gawang golnya.

Selangor cuba mencari gol penyamaan, namun keputusan 2-1 kekal memihak kepada JDT sehingga tamat perlawanan.