Malaysia Berita

Piala AFF 2022: Lee Tuck, Sergio Aguero sertai skuad Harimau Malaya, tiada nama 11 pemain JDT

Lee Tuck dan Sergio Aguero antara 29 pemain yang tersenarai dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula 29 November 2022.

Ini setelah dua pemain itu melengkapkan proses naturalisasi selepas 5 tahun beraksi di Malaysia.

Namun, 11 pemain utama JDT tidak menyertai kem latihan kali ini atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan, menurut FAM.

11 pemain JDT itu adalah Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz, Arif Aiman, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Nathaniel Shio Hong Wan dan Natxo Insa.

Perkara itu bagaimanapun bukanlah isu besar kerana FIFA telah menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan.

Kelab juga tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil “A” setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja.

“Sebagai menghormati Peraturan FIFA, 12 pemain tersebut tidak akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022,” kata FAM.

Aki 29 pemain akan menyertai kem latihan pusat bermula 29 November 2022 yang mana pemain-pemain yang beraksi pada Final Piala Malaysia 2022 pada 26 November 2022 akan diberi kebenaran untuk melapor diri lewat iaitu pada 5 Disember 2022.

7 pemain lagi diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam senarai nama 29 pemain, atas sebab-sebab tertentu atau pun kecederaan.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kemboja pada 9 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebelum menentang Maldives bagi aksi kedua pada 14 Disember 2022 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Seterusnya Kim Pan-gon akan menamakan senarai akhir 23 pemain ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang mana bagi kempen Kumpulan B, Malaysia akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember 2022, Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember 2022, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember 2022 dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023.

Senarai Kem Latihan Pusat Piala AFF 2022

GK: Syihan Hazmi, Kalamullah, Azri Ghani, Rahadiazli Rahalim
DF: Dominic Tan, Dion Cools, Khuzaimi Piee, Azam Azmi, Sharul Nazeem, Declan Lambert, Quentin Cheng, V. Ruventhiran
MF: Shamie Iszuan, Brendan Gan, Hakim Hassan, Mukhairi Ajmal, Stuart Wilkin, Akram Mahinan, R Kogileswaran, David Rowley, Aliff Haiqal, Faiz Nasir
FW: Safawi Rasid, Darren Lok, Faisal Halim, Lee Tuck, Haqimi Azim, Sergio Aguero, Ramadhan Saifullah

Tidak sertai Piala AFF

Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz, Arif Aiman, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Nathaniel Shio Hong Wan, Natxo Insa, Azam Azih