Piala Dunia 2022 Berita

Piala Dunia 2022: Argentina kalah mengejut kepada Arab Saudi

Arab Saudi membuat kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila menewaskan Argentina 2-1 di Stadium Lusail sempena perlawanan pembukaan Piala Dunia Qatar 2022.

Ini kali pertama dalam sejarah Argentina tewas kepada Arab Saudi.

Argentina mendahului seawal minit ke-10 hasil jaringan penalti yang disempurnakan oleh Lionel Messi.

Namun, serangan Argentina sering dipatahkan oleh Arab Saudi termasuklah 3 gol yang dibatalkan kerana perangkap ofsaid sepanjang separuh masa pertama.

Arab Saudi mengambil peluang di atas kelemahan pertahanan Argentina apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Saleh Al Shehri pada minit ke-48.

Lima minit kemudian, Arab Saudi sekali lagi menjaringkan gol ketika berlaku perebutan bola dalam kotak penalti, sebelum Salem Al Dawsari melancarkan sepakan kencang yang melencong masuk ke gawang gol, gagal ditepis keluar penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Argentina cuba menyamakan kedudukan sehingga ke masa tambahan, namun penjaga gol Arab Saudi, Mohammad Al-Owais cemerlang menafikan segala percubaan sehingga keputusan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu sekali gus menjejaskan peluang Argentina dan Messi yang mengidam untuk menjulang Piala Dunia 2022.