Berita AFC Cup

KL City juara Piala AFC Zon ASEAN 2022

Kuala Lumpur City muncul juara Piala AFC Zon ASEAN 2022 apabila meraih kemenangan dramatik menewaskan PSM Makassar 5-2 di Stadium Bolasepak KL, Cheras.

Paulo Josue menjadi wira buat KL City apabila menjaringkan dua gol malam ini.

The City Boys menguasai perlawanan sejak awal permainan dan mendahului menerusi jaringan Romel Morales pada minit ke-33.

Jordan Mintah menambah gol kedua KL City pada masa tambahan separuh masa pertama.

KL semakin selesa di separuh masa kedua apabila Paulo Josue berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52, menjadikan kedudukan 3-0.

Namun, KL dikejutkan dengan jaringan gol jarak jauh penyerang Makasar, Yakob Sayuri pada minit ke-58.

KL sekali lagi dibolosi pada minit ke-63 apabila pemain tengah Makassar, Akbar Tanjung menanduk masuk gol hasil sepakan penjuru Rasyid Bakri, menjadikan kedudukan 3-2.

Bagaimanapun, Josue menjadi wira KL apabila menyumbat masuk gol pada minit ke-84 setelah penjaga gol Makassar, Reza Pratama gagal menangkap kemas rembatan Jordan Mintah.

Hadin Azman melengkapkan kemenangan KL apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa kedua.

Kedudukan 5-2 kekal hingga tamat perlawanan, dengan KL mencatatkan 19 percubaan dan 9 percubaan tepat berbanding 8 percubaan Makassar dengan 3 percubaan tepat.

Kemenangan itu menyaksikan KL City layak ke playoff peringkat inter-zon Piala AFC 2022.