Liga Premier Malaysia Berita

Pemilik baharu Perak mula bayar hutang, selesai bayar RM1.6 juta

Dua minggu selepas memulakan proses pengambilalihan, pemilik baharu Perak, XOX Berhad mengotakan janjinya.

Ini selepas XOX mengesahkan bahawa syarikat itu telah memulakan proses pembayaran tunggakan gaji.

Proses itu melibatkan pembayaran sebanyak RM1.6 juta bagi melangsaikan hutang para pegawai dan pemain Perak yang tertunggak sekian lama.

Bayaran itu meliputi 94 orang daripada 168 kakitangan pasukan.

“Perak FC menjangkakan proses pelangsaian semua pembayaran yang berbaki akan dilengkapkan seawal minggu hadapan, sebaik sahaja selesai semua proses pengesahan dan
pengisytiharan hutang-hutang,” katanya dalam kenyataan.

“Pihak pengurusan baharu Perak FC bersama pihak eksekutif XOX mengucapkan terima kasih kepada para peminat dan semua pihak berkaitan dengan kelab bola Perak atas sokongan mereka.

“XOX berharap agar ini merupakan permulaan baharu dengan memberi tumpuan kepada pembinaan semula Perak FC serta mengembalikan zaman kegemilangannya.”

Perak kini dalam misi untuk menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran selepas mencatatkan -3 mata selepas 7 perlawanan.

Pasukan itu sebelum ini meraih 6 mata selepas memenangi dua perlawanan dan 5 kekalahan namun dipotong sehingga 9 mata kerana berdepan masalah kewangan.