Liga Super Malaysia Berita

Ketua Menteri Melaka akui bertemu CEO Melaka United, minta selesaikan tunggakan gaji 3 bulan

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengakui ada bertemu dengan CEO Melaka United, Datuk Seri Justin Lim berhubung isu tunggakan gaji yang melanda pasukan itu sejak tiga bulan lalu.

Ini selepas ketua jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic mendedahkan bahawa isu tunggakan gaji antara punca Melaka tewas 1-0 kepada Sabah minggu lalu.

“Selaku Presiden MUSA, saya sudah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Seri Justin Lim,” katanya kepada Berita Harian.

“Saya maklumkan pembayaran gaji itu perlu juga dibuat, meskipun secara berperingkat.

“Saya tahu masalah gaji mungkin berlaku kerana ada gaji pemain terlalu tinggi, tetapi mereka perlu bayar secara keseluruhan, tak bolehlah pilih-pilih pemain.

“Jika berlarutan, ia boleh melemahkan dan menghilangkan semangat pemain.

“Kalau nak suruh mereka bermain di atas padang, mereka akan sekadar main suka-suka sahaja dan tidak bersemangat.”

Sulaiman juga mengakui tidak tahu-menahu mengenai punca tunggakan bayaran gaji pemain pasukan itu.

“Punca tunggakan itu kena tanya mereka sendiri, saya memang tidak tahu apa punca sehingga terjadi lagi isu sama.

“Cuma yang saya tahu, masalah gaji ini bukan sahaja berlaku di Melaka, tetapi juga dalam beberapa kelab bola sepak lain di Malaysia.”