Liga Super Malaysia Berita

Batalkan gol Pahang, FAM akui pengadil buat silap

Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman mengakui pengadil membuat kesilapan ketika mengendalikan perlawanan antara Kedah dan Pahang di Stadium Darul Aman, baru-baru ini.

Ini berdasarkan laporan daripada penilai pengadil yang menyatakan bahawa terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Pahang.

“Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang FC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.

“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut.”

Namun, Abang Zulkarnain menyatakan tiada isu dalam perlawanan antara KL City dan JDT.

“Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj.”

“FAM tidak menerima sebarang surat aduan daripada Kuala Lumpur City.”

Bagi perlawanan Negeri Sembilan dan Selangor, penilai pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab.

“FAM telah menerima surat aduan daripada Selangor dan sudah pun membalas surat berkenaan.”