Liga M3 Berita

Fakri Saarani sertai pasukan Liga M3, BRM FC Kuala Kangsar

Bekas penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani disahkan menyertai pasukan Liga M3, Budak Rumah Murah (BRM) FC Kuala Kangsar bagi musim 2022.

Kemasukan penyerang ­berusia 32 tahun itu menjadikan beliau pemain Liga Super ketiga yang menyertai pasukan itu selepas Az­meer Yusoff dan Fitri Omar.

Pengurus pasukan, Aliff Nor Azaman berkata, kehadiran Fakri akan menguatkan jentera serangan kelab dari Kuala Kangsar itu dalam misi layak ke Liga Premier musim 2023.

“Fakri mengikat kontrak setahun dengan kami,” katanya kepada Utusan.

“Kehadirannya diyakini me­ning­kat kemampuan pasukan.”

Fakri yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan memulakan karier profesional dengan pasukan Perak pada 2006 sebelum berhijrah ke Harimau Muda pada 2007.

Namun, beliau mula menempa nama apabila beraksi cemerlang ketika mula beraksi dengan Perlis pada 2009.

Beliau kemudian berpindah ke Negeri Sembilan pada 2011 dan Felda pada 2012, sebelum berhijrah ke luar negara pada bulan Disember apabila menyertai Atletico SC yang ketika itu beraksi di liga divisyen ketiga Portugal.

Namun, Fakri kembali ke Malaysia pada Februari 2013 apabila beliau menyertai Kelantan, membantu pasukannya memenangi Piala FA pada tahun itu.

Selepas dua tahun di Kelantan, beliau menyertai Kedah pada Januari 2016 dan kekal bersama pasukan itu selama dua tahun, memenangi Piala Malaysia 2016, Piala Sumbangsih 2016 dan Piala FA 2017.

Beliau kemudian berhijrah ke Melaka United pada 2018 dan Kuala Lumpur pada 2019.

Bagaimanapun, beliau membuat keputusan untuk beraksi dalam Liga M3 dengan menyertai Northern Lions FC pada musim 2020 yang dibatalkan kerana penularan Covid-19.

Tahun lalu, beliau beraksi dengan Kelana United yang beraksi di Liga FA Selangor.

BRM FC diundi dalam Kumpulan B yang terdiri daripada Perlis United FC, Tok Janggut Warriors FC, Harini KS FC, Kijang Rangers FC, Respect FC, Kuala Lumpur Rovers FC, Bukit Tambun FC, PIB FC dan Real Chukai.

Liga M3 yang akan bermula 11 Februari depan akan disertai 20 pasukan me­nyertai liga amatur anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.