Piala Malaysia Berita

[VIDEO] Piala Malaysia 2021: JDT mara ke final, meskipun Safiq Rahim dilayangkan kad merah

Johor Darul Ta’zim mara ke final Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan Terengganu 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim.

Ini bermakna JDT menang dengan agregat 4-1 selepas seri 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama.

JDT mendahului seawal minit ke-6 menerusi Bergson yang mengejutkan pihak lawan apabila sepakan dari luar kotak penalti berjaya melepasi penjaga gol Terengganu, Suhaimi Husin.

Pasukan tuan rumah menggandakan kedudukan menerusi Gonzalo Cabrera pada minit ke-10 hasil tekanan yang diberikan oleh Arif Aiman dan Bergson.

Terengganu sekali lagi dibolosi menerusi jaringan Bergson pada minit ke-13, menjadikan kedudukan 3-0 dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Namun, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Safiq Rahim dilayangkan kad merah apabila menanduk kepala Faisal Halim pada minit ke-16.

Insiden itu menjadi lebih buruk apabila Bergson melempar air ke arah Faisal, menyebabkan pemain tengah Terengganu itu menendang kaki Bergson sehingga terjatuh, mencetuskan insiden tolak-menolak antara beberapa pemain kedua-dua pasukan.

Terengganu bagaimanapun gagal mengambil kesempatan di atas kekurangan JDT sepanjang separuh masa pertama, malah sepakan Jordan Mintah melambung tinggi di depan pintu gol meskipun sudah berjaya melepasi Farizal Marlias.

JDT sebaliknya selesa dan mampu mencipta beberapa peluang pada separuh masa pertama, serta berjaya mengekang segala serangan Terengganu.

Perlawanan akhir akan berlangsung pada Selasa, 30 November 2021.