Malaysia Berita

Malaysia B-23 catat kemenangan kedua, Azfar Fikri terus tampil prestasi cemerlang

Malaysia B-23 mencatatkan kemenangan kedua apabila menewaskan Mongolia 1-0 dalam kelayakan Piala Asia B-23 hari ini.

Azfar Fikri Azhar sekali lagi menjaringkan gol kemenangan, hasil hantaran rakan sepasukan Terengganu II, Hairiey Hakim Mamat pada minit ke-40.

Ternyata, pemain berusia 21 tahun itu tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya, walaupun dipanggil untuk sertai skuad B-23 kurang seminggu sebelum ke Mongolia.

Beliau menggantikan Ahmad Aysar Hadi Shapri dari JDTII yang mengalami kecederaan sebelum berlepas ke Ulaanbaatar pada 20 Oktober.

Azfar merupakan produk Terengganu, apabila memulakan karier bola sepak dengan Terengganu IV dan Terengganu III sebelum pertama kali beraksi dengan Terengganu II musim ini.

Beliau yang boleh beraksi di posisi sayap kanan dan kiri serta pertahanan juga menjaringkan gol kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Laos pada Isnin lalu.

“Sejujurnya saya tidak menduga terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan B-23,” katanya kepada Berita Harian minggu lalu.

“Lebih-lebih lagi hanya kurang seminggu berada dalam kem latihan bagi menggantikan pemain yang cedera.

“Dengan pemilihan ini, saya bersyukur kerana masih diberi peluang menyarung jersi skuad kebangsaan B-22 buat kali pertama. Terima kasih kepada barisan kejurulatihan pasukan negara yang diketuai Brad Maloney kerana memberi kepercayaan kepada saya.

“Tidak lupa juga barisan kejurulatihan TFCII, yang diketuai Badrul Afzan Razali yang memberikan lebih minit permainan kepada saya dalam aksi Liga Premier musim ini sekali gus menambah lagi keyakinan saya beraksi di pentas tertinggi di peringkat Asia.”

Sepanjang saingan Liga Premier musim ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur berketinggian 1.69 meter itu menjaringkan dua gol.

Malah, beliau juga menjaringkan satu gol ketika beraksi dengan skuad B-22 pada perlawanan persahabatan menentang Kedah sebelum ini.

“Impian saya sudah tentu memperagakan aksi terbaik jika diturunkan untuk membantu pasukan memburu kemenangan dalam tiga perlawanan di Mongolia bagi melayakkan diri ke pentas Piala Asia di Uzbekistan tahun depan.”

Malaysia kini mendahului Kumpulan G dengan 6 mata, 11 pemenang kumpulan dan 4 naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia B-23 AFC di Uzbekistan tahun depan.