Premier League Berita

Gareth Southgate: Prestasi hambar, Jadon Sancho tidak layak bermain dengan England

Gareth Southgate mengakui prestasi Jadon Sancho di Manchester United ketika ini tidak cukup bagus untuk disenaraikan dalam skuad England.

Sejak berhijrah dari Borussia Dortmund setelah menjaringkan 49 gol dan 60 assist dalam tiga musim di Bundesliga, para peminat mengharapkan beliau meneruskan aksi hebatnya, tetapi selepas lima perlawanan, Sancho masih belum mencatatkan sebarang percubaan tepat, jaringan gol mahupun bantuan gol.

Namun, Southgate tetap memanggil pemain tengah berusia 21 tahun itu bagi memberikan keyakinan dan motivasi kepadanya.

“Adakah Sancho layak dipanggil berdasarkan prestasinya? Mungkin tidak,” kata Southgate.

“Tetapi kami telah memberikan ruang yang mencukupi kepada Jadon dalam jangka waktu yang panjang, jadi kami yakin dia akan dapat mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Saya akan berbincang dengannya dan membantu prosesnya di Manchester United juga dan memberitahu dia bahawa kami percayakan keupayaannya, pada masa ini adalah mesej yang baik.

“Jadi sekali lagi, tidak ada penyelesaian yang sempurna di sini dan anda boleh dengan mudah melontarkan nama lain yang saya tidak panggil sebelum ini dan berkata, kenapa tidak uruskan mereka dengan cara yang sama.”

“Kami berusaha secara individu melakukan perkara yang betul pada waktu yang tepat, menghantar mesej yang tepat dan kadang-kadang mesej yang tepat adalah tidak memanggil pemain itu dan mungkin mereka akan bertindak balas.

“Itu adalah perkara yang betul tetapi kami merasakan dengan Jadon kali ini adalah penting untuk dia bersama kami.”

Bagaimanapun, Southgate mengakui Sancho memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak England.

“Dengan Jadon, saya tidak terkejut. Bundesliga berbeza sama sekali, Dortmund adalah kelab yang besar tetapi Manchester United adalah salah satu kelab yang terbesar di dunia.

“Ada beberapa penyesuaian diperlukan, ada penyesuaian untuk liga, anda tidak akan mendapat jumlah gol dan assist yang hampir sama dengan liga kami, berbanding dengan Bundesliga.

“Ada beberapa pasukan yang sangat bagus dalam Bundesliga tetapi juga merupakan liga yang baik untuk pemain muda mengembangkan karier kerana ada beberapa pasukan yang tidak berada di tahap sepatutnya.

“Liga kami, setiap perlawanan sangat sengit dan sukar dan rasanya dia mungkin baru mula menyedarinya.”