UEFA Champions League Berita

Cristiano Ronaldo: Man United mampu layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah

Cristiano Ronaldo yakin everything is possible setelah menjaringkan gol kemenangan Manchester United ketika menewaskan Villarreal 2-1 di Old Trafford.

Ini meskipun pasukannya tewas tiga perlawanan iaitu kepada Young Boys, West Ham dalam saingan Carabao Cup dan Aston Villa dalam saingan Premier League baru-baru ini.

“Saya sangat gembira,” kata Ronaldo.

“Bukan perlawanan yang terbaik untuk saya. Saya tidak bermain dengan baik.

“Kadang-kadang saya bermain bagus, saya tidak menjaringkan gol. Kali ini saya tidak bermain bagus tetapi saya menjaringkan gol.

“Tetapi kemenangan yang sangat penting. Jika kami tidak mendapat mata sukar untuk melangkah ke peringkat seterusnya tetapi sekarang semuanya tidak mustahil, semuanya terbuka dan kami yakin kami akan layak ke pusingan seterusnya.”

Bagaimanapun, Ronaldo mengakui Villarreal bukan lawan yang mudah.

“Ia adalah perlawanan yang sangat, sangat sukar,” kata Ronaldo. “Villarreal bermain dengan baik, mencipta banyak peluang.

“Kami bergelut sedikit kerana kami tahu sebelum perlawanan bahawa kami mesti memenangi perlawanan ini.

“Ia sukar, pasukan sedikit gugup terutamanya, separuh masa pertama dan separuh masa kedua, sejujurnya.

“Tetapi kami sedikit bernasib baik, perkara yang kami tidak miliki ketika menentang Aston Villa.

“Para peminat banyak mendorong kami, yang saya ucapkan terima kasih kepada mereka semua.

“Inilah yang kita perlukan, kadang-kadang ketika kita merudum, ketika pasukan tidak bermain dengan baik, tetapi kemenangan ini penting.”

Ronaldo memecahkan rekod penampilan Liga Juara-Juara Eropah, dengan mencatatkan 178 penampilan, mengatasi bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Iker Casillas.

Pemain berusia 36 tahun itu telah memenangi Liga Juara-Juara sebanyak lima kali, termasuk edisi 2008 bersama United, dan tidak sabar untuk melakar sejarah baharu di Old Trafford.

“Inilah sebabnya saya kembali kerana saya sangat merindui kelab ini,” katanya kepada BT Sport.

“Saya melakar sejarah di kelab ini dan saya mahu melakukannya lagi.

“Saya harus mengucapkan terima kasih kepada mereka semua, bukan hanya untuk saya tetapi untuk mendorong pasukan ini menjadi sangat penting, terutama musim ini.”

United akan bertemu Atalanta di Old Trafford dalam perlawanan Kumpulan F seterusnya, sebelum menuju ke Bergamo untuk perlawanan timbal balik pada awal November.