Luar Negara Berita

V Annil bakal jalani sesi ujian dengan VfB Stuttgart, Karlsruher SC

Annil Vigneswaran bakal menjalani sesi ujian bersama kelab Bundesliga, VfB Stuttgart dan kelab 2.Bundesliga, Karlsruher SC pada November ini.

Ini selepas wakil dua kelab tersebut melihat aksinya bersama SGV Freiburg yang bersaing dalam saingan divisyen ke-5, memandangkan ketiga-tiga kelab ini berasal dari negeri yang sama iaitu di Baden-Wurttemberg, yang terletak di barat daya Jerman.

Perkara itu disahkan sendiri oleh jurulatih B-20, Brad Maloney yang menganggap Annil sebagai sebahagian daripada perancangannya menjelang pusingan kelayakan Kejohanan Piala AFC B-23 di Mongolia pada hujung Oktober depan.

“Saya gembira dengan perkembangan Annil.” kata Maloney kepada Harian Metro.

“Menerusi perbualan telefon dengannya, dia akan mengikuti sesi percubaan bersama VfB Stuttgart dan Karlsruher SC.

“Dua kelab itu antara kelab terbesar di Jerman, jadi dengan peluang diraih olehnya menandakan negara masih memiliki bakat yang baik.”

Annil akan menyertai skuad kebangsaan sebelum menjalani sesi percubaan.

“Kita tetap akan memanggilnya untuk kelayakan nanti. Selepas kelayakan itu, dia mungkin akan kembali ke Jerman untuk mengikuti percubaan itu.”